Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengasuh tampar bayi enam bulan didenda RM12,000

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Seorang pengasuh didenda RM12,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menampar anak asuhannya berusia enam bulan, Ogos lepas.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas seorang warga Indonesia, Anisah Ahmad, 42, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menampar pipi bayi perempuan itu sehingga mendatangkan kecederaan terhadapnya di sebuah rumah di Setapak Jaya Baru di sini, antara jam 8 pagi dan 3 petang, pada 27 Ogos lepas.

Ibu enam anak itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman rendah dengan alasan dia menanggung enam anak yang masing-masing empat berada di Indonesia dan dua di Malaysia.

“Saya tidak sengaja buat (tampar) kerana berada dalam tertekan. Suami menghidap kanser mulut tahap empat. Ketika kejadian mangsa menangis dan saya terkejar-kejar untuk memberi susu kepada suami yang minum menggunakan tiub.

“Saya juga tidak perasan ada kesan (tampar). Kalau saya tahu saya minta maaf awal-awal dengan ibu mangsa…Saya perlukan duit sebab anak di Indonesia nak makan, sini pun nak makan. Jadi saya ambillah budak itu. Lagipun, saya sudah jaga budak lebih tujuh, lapan tahun tidak pernah terjadi perkara sebegini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana ia membabitkan penderaan terhadap kanak-kanak.

“Tiga faktor yang perlu diambil kira ialah kesalahan yang dilakukan adalah terhadap seorang bayi. Ia adalah perkara biasa apabila bayi berusia enam bulan menangis.

“Kedua, kesalahan yang dilakukan itu sama ada terdapat kesan lebam atau tidak bukan menjadi faktor pembelaan berikutan kesalahan itu sudah berlaku. Ketiga, mahkamah perlu mengambil kira kesalahan dan masalah yang dihadapi tertuduh tetapi sepatutnya dia perlu berdepan dengan cara yang betul dalam menghadapi kesusahan hidup,” katanya.

Mengikut fakta kes, ketika hari kejadian pada 8.30 pagi, pengadu menghantar mangsa dalam keadaan baik ketika ke rumah pengasuh itu, namun ketika diambil pada jam 3 petang, ibu mangsa mendapati terdapat kesan lebam di pipi kiri mangsa yang menyerupai kesan jalur seperti ditampar.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di bahagian pipi kiri akibat dipukul dan ia adalah kecederaan baharu.

Siasatan polis mendapati tertuduh menampar mangsa kerana mangsa tidak berhenti menangis.

-BERNAMA


Pengarang :