AGENSISELANGOR

Pengorbanan ibu bapa dorong kejayaan Nurul Balqis

OLEH: ALIFF HAIKAL

BANGI, 7 SEPT: Penat jerih ibu bapa yang berkorban mengeluarkan belanja tinggi menghantar Nurul Balqis Junaidi, melanjutkan pelajaran ke Semenanjung terbalas apabila dia menerima Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor.

Ditemui pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-22, pelajar cemerlang itu nyata sebak dengan pengorbanan ibu bapanya.

“Saya berasa amat terharu dan tidak menyangka terpilih untuk menerima anugerah ini. Kedua-dua ibu bapa saya berusaha keras mengumpul wang bagi menampung pembelajaran saya di sini.

“Justeru, anugerah ini adalah hadiah terbaik dari saya untuk mereka,” katanya yang juga menerima anugerah Dekan setiap semester.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui di majlis konvokesyen itu, di sini.

Graduan Sarjana Muda Terjemahan Bahasa Arab itu mengatasi 2,338 graduan lain bagi memperolehi Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor.

Pada masa sama, Nurul Balqis, 25, turut berterima kasih kepada pensyarah dan rakannya atas sokongan padu yang diberikan.

Beliau turut berhasrat untuk menerima tawaran guru interim di Sabah dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi jika berkesempatan.

Sementara itu, Muhammad Nabil Hakimi Ahmad Halami, 24, graduan dalam Sarjana Muda Usuluddin dan Multimedia menjadikan ibu bapa, pensyarah dan rakan sebagai pendorong utama kejayaannya.

“Pensyarah banyak membantu dalam bidang akademik dan memberikan sokongan moral sepanjang pengajian saya di sini,” katanya.

Katanya, antara aspek yang penting dalam kejayaan ialah sentiasa menjaga hubungan dengan Tuhan, pensyarah dan rakan sepanjang pengajian.


Pengarang :