AGENSISELANGOR

Pensyarah UiTM maut motosikal terbabas

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus
Sungai Buloh maut apabila motosikal ditungganginya terbabas di Jalan Hospital
dekat sini semalam.

Noor Izham Ismail, 40, disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di
Hospital Sungai Buloh akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor,
Superintendan Azman Shari’at berkata, ketika kejadian yang dilapor berlaku
pada pukul 8.20 pagi itu, pensyarah yang berasal dari Kajang itu dalam
perjalanan ke universiti berkenaan.

“Mangsa disyaki terbabas akibat melanggar tiang lampu jalan lalu terjatuh atas
jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati lokasi kemalangan tidak mempunyai
kamera litar tertutup dan setakat ini tiada saksi yang tampil membantu
siasatan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai
kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu
siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :