Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Penyanyi popular 90-an ditahan bersama syabu

JOHOR BAHRU, 9 SEPT: Seorang penyanyi lelaki ditahan selepas dipercayai memiliki sejumlah dadah jenis syabu di kawasan Taman Perling, di sini, malam tadi.

Bekas vokalis sebuah kumpulan popular 90-an itu ditahan kira-kira jam 11.30 malam bersama seorang lagi rakan lelaki.

Difahamkan, kedua-dua mereka menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 di kawasan terbabit manakala dadah itu ditemui  di dalam dompet penyanyi berkenaan.

Hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua lelaki berkenaan positif dadah.

Penyanyi berumur 41 tahun itu pernah didakwa di Mahkamah Majistret di sini beberapa tahun lepas berkaitan dadah dan pernah menyertai sebuah program hiburan realiti.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Polis  Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

– BERNAMA


Pengarang :