AGENSISELANGOR

Penyumbang KDNK tertinggi dorong semangat penjawat awam Selangor

SHAH ALAM, 11 SEPT: Status Selangor sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Nasional tahun lalu seharusnya menjadi pemangkin semangat buat penjawat awam di negeri ini untuk terus menampilkan rentak kerja cemerlang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, pencapaian membanggakan itu perlu dikekalkan dan dipertingkat pada masa hadapan walaupun ia dianggap sebagai cabaran besar terhadap penjawat awam.

“Berbanding melihat perkara ini sebagai satu cabaran, saya lebih suka untuk menjadikan cabaran ini sebagai peluang kepada kita (perkhidmatan awam) untul menjadi lebih baik daripada sektor swasta.

“Malah, perkara sama turut disebut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menggesa penjawat awam di negara ini supaya melihat cabaran dan gangguan baharu bukan satu ancaman, tetapi sebagai peluang yang harus direbut untuk terus bertambah baik serta berinovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Selangor (MPIPANS) 2019, di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie Diron dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor.

Terdahulu, Selangor mencatat 23.7 peratus sebagai penyumbang KDNK nasional 2018, sekali gus menjana pertumbuhan melebihi paras nasional (4.7 peratus) iaitu sebanyak 6.8 peratus.

Malah, jumlah pelaburan juga mencatat sebanyak RM18.95 bilion iaitu jumlah tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah negeri ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amin berkata, masyarakat pada masa kini mengharapkan perkhidmatan berkualiti dan terbaik daripada penjawat awam sejajar dengan peredaran masa serta teknologi.

Katanya, ekspektasi masyarakat terhadap penjawat awam juga tidak semudah dahulu.


Pengarang :