Amirudin Shari menyantuni masyarakat setempat selepas selesai Majlis Penutup Sambutan Bulan Kemerdekaan Dan Hari Malaysia Anjuran Bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Baru Batu Caves. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Perancangan 10 tahun demi penduduk Selangor

GOMBAK, 15 SEPT: Kerajaan Negeri sedang melakar pelan perancangan 10 tahun ke hadapan secara lebih serius dalam usaha memperkukuhkan kemajuan dan pembangunan yang bakal dinikmati seluruh rakyat Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Justeru, beliau berkata, buat masa ini Kerajaan Negeri sedang mendapatkan maklum balas daripada penduduk di negeri itu dalam menggerakkan perancangan sepanjang tempoh 2020 hingga 2030.

Katanya, komunikasi antara Kerajaan Negeri dan masyarakat harus dipertingkat dari semasa ke semasa dalam memastikan pembangunan negeri berada di landasan terbaik.

Masyarakat setempat menyanyikan lagu patriotik, Tanggal 31 Ogos sempena Penutup Sambutan Bulan Kemerdekaan Dan Hari Malaysia Anjuran Bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Baru Batu Caves. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Perancangan jangka masa panjang lebih banyak suara yang perlu kita dengar supaya kita dapat meneliti setiap kepentingan dan keutamaan yang diletakkan oleh rakyat.

“Di Selangor, kita menumpukan pembangunan aplikasi pintar untuk memastikan negeri ini setanding dengan kawasan-kawasan lain. Malah, setakat ini Selangor masih tidak dapat ditandingi negeri lain, khususnya dari aspek kemajuan dan pembangunan aktiviti ekonomi

“Kita harus bersaing dengan kuasa besar lain dan meletakkan ‘benchmark’ bersama bandar-bandar utama di dunia,” katanya pada Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia Peringkat Kampung Baru Batu Caves, di Padang Awam Batu Caves, di sini, hari ini.

Terdahulu, program anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Batu Caves dengan kerjasama Ahli Majlis Zon 8 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu dimeriahkan dengan kehadiran penduduk dari pelbagai lapisan masyarakat.

Program dua hari sehingga esok itu diserikan dengan pelbagai acara menarik seperti jaringan penalti bola jaring, memasak ubi kayu, mewarna untuk kanak-kanak, deklamasi sajak dan nyanyian lagu patriotisme.

Turut diadakan perlawanan istimewa bola sepak yang menyaksikan pertemuan antara pasukan Selangai FC (veteran) dan Parang FC (pemuda).

Mengulas mengenai program berkenaan, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata, ia sebagai wadah untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan komuniti di sekitar kawasan terbabit.

“Ini adalah satu usaha murni di saat kita menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lalu dan memperingati Hari Malaysia yang disambut pada 16 September saban tahun.

“Malah, ia suatu perkara penting yang perlu sentiasa dititikberatkan bagi mengukuhkan perpaduan dan muafakat dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Daerah dan Tanah (PDT) Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim; Ahli Majlis MPS Zon 7, Deveandran Selvaraju dan Pengerusi MPKK Kampung Baru Batu Caves, Adnan Mohd Yatim.


Pengarang :