Selangorkini
Datuk T Narenasagaran (tiga, kanan) memakaikan pakaian keselamatan kepada pekerja Flex Penang, Mohamad Danial Abdul Razak pada Majlis Penutup Program Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Inisiatif Perkeso dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Flex Penang sempena Hari Polis Ke-212 pada 10 September 2019 yang turut dihadiri Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (dua, kiri) dan Pengurus Besar Flex Penang, Ooi Siew Mei (kanan). Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Perkeso bayar pampasan RM315.96 juta bagi kemalangan pergi, balik kerja

BUKIT MERTAJAM, 10 SEPT: Sejumlah RM315.96 juta bayaran pampasan bagi kemalangan semasa berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dibayar oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohammed berkata, jumlah berkenaan merangkumi faedah kematian, hilang upaya dan kecederaan kepada pekerja bagi kemalangan perjalanan pergi dan pulang dari dan ke tempat kerja.

“Bagi tempoh itu sebanyak 15,713 kes kemalangan pergi dan balik kerja membabitkan kematian 290 pekerja direkodkan. Kemalangan dan kehilangan (mati) itu bukan sahaja majikan menghadapi kerugian akibat kehilangan tenaga kerja tetapi keluarga mereka.

Perkeso turut membelanjakan sebanyak RM688.9 juta sepanjang tahun lepas melibatkan kemalangan pergi dan balik kerja. Ini impak kemalangan berbentuk kewangan secara langsung, namun impak psiko sosial akibat itu lebih besar terutama kepada keluarga,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas Majlis Penutup Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya inisiatif Perkeso dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Flex Pulau Pinang yang dirasmikan oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamed Azman berkata, kempen tersebut merupakan kempen jangka panjang untuk mengenal pasti sebarang kemalangan yang dihadapi oleh pekerja terutama ketika pergi dan balik kerja.

Menurutnya, Perkeso juga meminta majikan supaya meningkatkan keselamatan pekerja ketika perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja kerana itu sememangnya di bawah tanggungjawab majikan.

“Pihak majikan boleh memulakan pendekatan tertentu seperti program pemanduan berhemah kepada pekerja mereka. Selain itu, Perkeso juga bekerjasama dengan pihak PDRM untuk mengenal pasti kawasan berisiko kemalangan, semua ini menerusi kempen yang teratur bagi mengurangkan kemalangan dan kematian,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap golongan pekerja dapat meningkatkan kesedaran ketika memandu dan memikirkan nasib keluarga jika terlibat dalam kemalangan.

Katanya, menerusi kajian yang dijalankan oleh Perkeso bersama institusi pengajian tinggi awam menunjukkan lebih 52 peratus kemalangan pekerja berlaku ketika dalam perjalanan pergi ke tempat kerja dan ia berlaku dalam lingkungan lima kilometer sahaja dari destinasi.

“Manakala 65 peratus kemalangan perjalanan melibatkan golongan belia berusia 40 tahun sementara 80 peratus adalah pekerja lelaki dan kajian itu juga mendapati 76.9 peratus kemalangan perjalanan ke tempat kerja membabitkan penunggang serta pembonceng motosikal,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :