Datuk Seri Gopal Sri Ram (tengah) ketika hadir pada perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 4 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Permohonan Najib, Shafee cabar pelantikan Sri Ram 25 Oktober

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Permohonan semakan kehakiman difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi mencabar pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes-kes yang dihadapi mereka, akan didengar pada 25 Oktober.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili bapanya dan bekas Perdana Menteri itu memberitahu pemberita, tarikh tersebut ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, Datuk Seri Mariana Yahya ketika pengurusan kes di dalam kamarnya, hari ini.

Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Aisyaf Falina Abdullah yang bertindak bagi pihak Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

“Dalam prosiding hari ini, SFC memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya berhasrat untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi kebenaran kepada kedua-dua anak guamnya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman itu.

“Namun, pihak kami masih belum menerima apa-apa dokumen berhubung rayuan berkenaan,” kata Muhammad Farhan.

Pada 20 Februari lepas, Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas menolak permohonan Najib dan Muhammad Shafee untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung pelantikan Sri Ram.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizah Nawawi ketika membuat keputusan itu berkata permohonan Najib dan Muhammad Shafee adalah serupa dengan permohonan yang dibuat oleh mereka di Mahkamah Tinggi Jenayah.

Bagaimanapun, kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas selepas Mahkamah Rayuan pada 26 Ogos lepas, memberi kebenaran kepada bekas Perdana Menteri itu dan peguamnya untuk memulakan semakan kehakiman berkenaan setelah membenarkan rayuan mereka terhadap keputusan yang dibuat Hakim Azizah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Lau Bee Lan dan Datuk Has Zanah Mehat dalam keputusan mereka mendapati rayuan itu mempunyai merit dan mendapati bahawa sifat dan bidang kuasa permohonan semakan kehakiman serta usul penyingkiran yang difailkan di Mahkamah Tinggi Jenayah adalah berbeza.

Kedua-dua kes itu hari ini disebut di hadapan hakim lain iaitu Datuk Seri Mariana Yahya.

Pada 1 Mac lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Najib, yang kemudiannya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Jenayah itu turut gagal dalam rayuannya selepas Mahkamah Rayuan pada 7 Mei lepas membenarkan bantahan awal pendakwaan untuk membatalkan rayuan Najib.

Hakim Sequerah pada 22 April lepas, turut menolak permohonan Muhammad Shafee untuk mendapatkan surat pelantikan serta menyingkirkan Sri Ram bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes yang dihadapinya.

Sementara itu, dalam permohonan semakan kehakiman difailkan Najib dan Muhammad Shafee secara berasingan pada Disember tahun lepas, mereka memohon perintah untuk membatalkan keputusan Peguam Negara/Pendakwa Raya yang menurut mereka, tidak mengemukakan kepada mereka salinan surat pelantikan Sri Ram untuk mengetuai pasukan pendakwaan dan dengan itu mendakwa telah melanggar Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah.

Kedua-dua pemohon juga memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan itu tidak sah, dan memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu.

Turut dipohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

– BERNAMA


Pengarang :