Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah bercakap kepada media berikutan isu perobohan rumah Kampung Sungai Kedondong Paya Jaras di hadapan Bangunan SUK pada 4 September 2019. – Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Perobohan rumah Paya Jaras ditangguhkan hingga 16 September

SHAH ALAM, 4 SEPT: Sebarang tindakan berhubung isu perobohan rumah penduduk bagi projek pelebaran Sungai Kedondong di Paya Jaras Hilir akan ditangguhkan sehingga 16 September ini, kata Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, keputusan tersebut dicapai hasil perbincangan bersama Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah dan Ahli Jawatankuasa Bertindak Paya Jaras hari ini.

Katanya, beliau juga akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada Selasa depan bagi mendapatkan keputusan berhubung tuntutan penduduk yang memohon untuk menangguhkan perobohan itu sehingga Disember tahun ini.

“Notis pengosongan sudah diberikan kepada kira-kira 70 buah rumah yang didirikan di tebing sungai ini. Malah, melalui perbincangan dengan saudara Borhan Aman Shah, kita akan menangguhkan segala tindakan sehingga 16 September.

“Minggu hadapan (selasa), kita akan berbincang semula dengan Dato’ Menteri Besar yang kini sedang berada di luar negara memandangkan penduduk meminta supaya ditangguhkan sehingga Disember bagi membolehkan mereka menyelesaikan urusan keluarga dan mencari rumah gantian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar pintu masuk utama perkarangan Bangunan SUK, di sini, hari ini.

Pada 5 Ogos lalu, penduduk diberi notis bertulis supaya mengosongkan rumah dalam tempoh 30 hari untuk proses perobohon yang bakal berakhir pada 5 September (esok).

Bagaimanapun, dua hari selepas diberi notis, ahli jawatankuasa itu bertindak menghantar memorandum dan surat rayuan penangguhan notis bagi membolehkan penduduk bersiap sedia mencari rumah, selain memberi laluan kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan.

Mengulas lanjut, Sivarasa berkata, projek pelebaran sungai berkenaan ditangguhkan sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 2005 dan 2007 memandangkan Kerajaan Negeri perlu membayar pampasan terhadap kontraktor dilantik.

“Ia juga satu tekanan kepada Kerajaan Negeri untuk bermula dengan projek pelebaran ini kerana kita memerlukan (pelebaran) untuk membantu menyelesaikan isu banjir yang kerap berlaku di Paya Jaras.

“Penduduk faham mereka tidak boleh duduk di kawasan berhampiran tebing sungai, namun isunya daripada segi perikemanusiaan kerana mereka perlu masa munasabah untuk berpindah dan melakukan persiapan mencari rumah sementara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sivarasa berkata, semua penduduk terbabit ditawarkan secara bertulis untuk membeli Rumah Selangorku bernilai RM42,000 sebagai pampasan yang dijangka siap pada 2021.

“Mereka mendapat pampasan dalam bentuk peluang membeli membeli Rumah Selangorku, malahan tidak perlu menunggu lama kerana mereka diberi keutamaan dan terus dapat memiliki rumah.

“Perkara ini juga akan dibincangkan pada pertemuan dengan beliau (Menteri Besar), tetapi ia memerlukan sedikit masa dan kita akan cuba selesaikan pada minggu hadapan,” katanya.


Pengarang :