Dr Madeline Berma (kanan) menjadi tetamu dalam Talk Show- Sumbangan Sabah dan Sarawak Dalam Pembentukan Persekutuan Malaysia sempena Siaran Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama Malaysia Book of Record (MBOR) 2019 di Wisma BERNAMA pada 16 September 2019. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Perpaduan etnik Malaysia ibarat warna kek lapis

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Perpaduan masyarakat etnik di negara ini ibarat gabungan warna kek lapis yang sinonim dengan Bumi Kenyalang, yang menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2019.

Felow Akademi Sains Malaysia, Assoc Prof Dr Madeline Berma berkata, kek lapis bukan sekadar menjadi ole-ole untuk diberikan kepada keluarga dan sahabat-handai malah ia menjadi juadah wajib dan simbolik kepada pelbagai sambutan yang dilihat sebagai penyatuan keluarga.

“Walaupun warna berbeza tetapi apabila bercampur menjadi kek lapis, rasa kek lapis menjadi sedap,” katanya semasa menjadi tetamu jemputan bagi program bual bicara bertajuk Sumbangan Sabah dan Sarawak Dalam Pembentukan Persekutuan Malaysia terbitan Bernama News Channel di sini. hari ini.

Program itu adalah antara pengisian Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam usaha mencatat rekod Siaran Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama Malaysia Book of Records (MBOR) 2019 bersempena Hari Malaysia.

Ahli akademik itu berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini turut menjadi antara fokus utama untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif.

Agihan kemakmuran yang berlaku pada setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi akan mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat, katanya.

“Penduduk di Sabah dan Sarawak juga berhak merasai segala kemudahan dan kekayaan yang dinikmati rakyat Semenanjung. Pada masa sama mereka (rakyat Sabah dan Sarawak) perlu bersyukur dan hargaidi mana mereka berada sekarang. Perlu sama-sama bina dan bangunkan Malaysia dengan memperbaiki segala kekurangan agar negara terus makmur sebagai sebuah negara majmuk,” katanya.

Justeru, Madeline menggesa media memainkan peranan penting memberi pendidikan bagi membantu mewujudkan serta memelihara hubungan antara pelbagai etnik dalam masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, pemain industri filem juga bertanggungjawab menghidangkan pelbagai cerita dibintangi pelakon mewakili pelbagai kaum dan etnik seperti filem arahan seniman agung P Ramlee yang sering kali menghasilkan filem menggambarkan hubungan istimewa pelbagai kaum.

“Saya akui yang saya membesar dalam masyarakat Iban namun Iban saya sesekali tidak luntur walaupun saya bercakap dan menonton filem Melayu. Maka media kena sampaikan pendidikan berkaitan penyatuan kepelbagaian di Malaysia,” katanya.

Menyentuh elemen penyatuan seperti makanan, kaum, etnik, peristiwa penting, sukan dan seni budaya, Madeline berkata, kepelbagaian itu menjadi pemangkin kepada perpaduan pelbagai kaum di Malaysia dan menjadi antara alat perpaduan yang paling berkesan.

Beliau memberi contoh antara sambutan yang diraikan secara bersama pelbagai etnik di Sarawak seperti Pesta Benak, Pesta Babulang dan Pesta Ikan mempamerkan kepelbagaian dan semangat menghormati agama serta budaya.

“Acara lumba perahu Regatta Sarawak menjadi acara yang amat dinanti-nantikan kerana ia menjadi acara rentas etnik dan agama. Ia bukan sekadar acara rekreasi malah boleh menyatukan rakyat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :