Tuan Di-Pertua Negeri Sarawak Tuan Yang Terutama, Tun Abdul Taib Mahmud memukul Gong Perpaduan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (dua, kanan), Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (kiri) dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) sempena sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan pada 16 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Perpaduan tanggungjawab semua rakyat Malaysia – PM

KUCHING, 16 SEPT: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu setiap rakyat Malaysia sedar akan tanggungjawab untuk mempertahankan perpaduan dan kepelbagaian etnik, agama dan budaya demi kestabilan dan kemajuan negara.

Perdana Menteri berkata, kestabilan memberi ruang untuk mentadbir serta melaksana dasar dan program pembangunan negara bagi kesejahteraan rakyat, sekali gus meningkatkan aktiviti ekonomi dan menjana kekayaan untuk dikongsi bersama.

“Pada Hari Malaysia ini, sebagai rakyat, kita perlu sedar akan tanggungjawab kita untuk mempertahankan perpaduan dan kepelbagaian supaya kita mencerminkan kebolehan mencapai perpaduan dalam kepelbagaian walaupun terbahagi kepada ramai bangsa dan suku kaum,” katanya semasa berucap pada sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini, malam ini.

Mengenang kembali kesepakatan rakyat Sabah dan Sarawak serta Tanah Melayu yang bersetuju membentuk Malaysia pada 16 September 1963, Dr Mahathir berkata, rakyat pastinya tidak akan mengambil ringan perpaduan dan kerjasama di antara rakyat, malahan akan bangkit mempertahankannya jika ada anasir yang mahu mengganggu-gugat perpaduan.

Beliau berkata, rakyat Malaysia seharusnya mengambil iktibar daripada kehancuran yang dialami beberapa negara akibat perpecahan sehingga berlaku konflik dan peperangan, yang ada kalanya kehancuran itu tidak dapat diperbaiki melangkaui satu generasi.

Mengakui bahawa semangat perpaduan akan mengalami pasang surut bergantung kepada keadaan dan suasana, Dr Mahathir berkata, ia tidak seharusnya merendahkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat secara berterusan.

“Terdapat usaha-usaha untuk melemahkan perpaduan kita dan ia dilakukan oleh rakyat kita sendiri. Naratif yang diguna sering berkait dengan perkara-perkara emosional terutamanya melibatkan kaum, agama, kenegerian dan kumpulan etnik.

“Amat mudah untuk kita terperangkap dengan isu-isu ini kerana ia dekat di hati kita. Tetapi jika kita berjiwa besar, ada keyakinan diri dan berfikiran waras, kita tidak akan benarkan diri kita dipengaruhi,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan tanggungjawab untuk mempertahankan perpaduan dalam kalangan rakyat bukan hanya tanggungjawab Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Sabah dan Sarawak semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab kesemua rakyat yang mengaku diri mereka rakyat Malaysia.

Bersesuaian dengan tema sambutan Hari Malaysia ‘Sayangi Malaysiaku:Malaysia Bersih”, Dr Mahathir menegaskan ia bertujuan mengingatkan rakyat tentang bahaya amalan rasuah yang boleh menghancurkan negara dan pentingnya mengekalkan Malaysia yang bersih daripada gejala itu.

“Kita telah menjadi saksi bagaimana negara ini hampir hancur akibat amalan rasuah dan salah guna kuasa. Benar kita telah berjaya menyingkirkan kepimpinan yang tidak bersih tetapi itu tidak bermakna ia sudah terhenti dan tidak akan berulang lagi,” katanya.

Dalam ucapannya Dr Mahathir turut berkongsi pandangan mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama yang bertujuan memberi keutamaan kepada mengukuhkan dan mengembangkan lagi ekonomi negara bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

“Kita mahu Kemakmuran Bersama ini disalurkan kepada semua rakyat termasuk meningkatkan kuasa beli mereka serta menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kaum.

“Apabila ini dapat dilakukan, kerajaan boleh memastikan kekayaan negara diagihkan dengan adil dan saksama sesama rakyat, dan ini sekali gus mewujudkan keharmonian dan kestabilan dalam kalangan mereka,” katanya.

Menegaskan penglibatan semua kaum dalam pelbagai sektor ekonomi secara adil dan saksama amat penting untuk mewujudkan kemakmuran bersama yakni dalam semangat Malaysia Baharu, Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu semua negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak menjayakannya.

– BERNAMA


Pengarang :