EXCO Kerajaan Negeri, V Ganabatirau.
EXCOSELANGOR

Peruntukan Blueprint Pembasmi Kemiskinan perlu ditambah

KLANG, 24 SEPT: Kerajaan Negeri disaran mempertimbangkan penambahan peruntukan bagi Program Bantuan Blueprint Kemiskinan ekoran permohonan dari usahawan kecil meningkat setiap tahun.

EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, program yang dilaksanakan sejak 2003 itu hanya menerima peruntukan tahunan berjumlah RM2 juta.

Katanya, ekoran permintaan yang dianggarkan meningkat 12 peratus dan kos peralatan yang semakin tinggi, peruntukan berkenaan tidak mencukupi.

“Disebabkan peruntukan yang tidak mencukupi, setiap Pejabat Tanah dan Daerah terpaksa menapis dan menolak permohonan usahawan kecil lain.

“Sedangkan ramai usahawan kecil yang ditolak permohonan itu benar-benar layak.

“Justeru, saya percaya pada masa akan datang peruntukan ini perlu ditambah sejajar dengan dasar negeri berkebajikan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Daerah Klang 2019, di Dewan Serbaguna, Pejabat Tanah dan Klang, di sini.

Ganabatirau berkata, kadar pendapatan keluarga peserta juga meningkat 95 peratus selepas bantuan peralatan itu diberikan.

Katanya, ini membuktikan usaha Kerajaan Negeri mencapai tujuan untuk mengupayakan ekonomi rakyat.

“Bantuan diberikan walaupun nampak kecil tetapi bagi mereka yang memerlukan, sangat mengembirakan mereka.

“Kebanyakkan usahawan menitis air mata mereka kerana kita bantu. Itu sangat mereka hargai,” katanya.

Program itu bertujuan menyalurkan bantuan berupa peralatan atau mesin diperlukan berdasarkan perusahaan dan perniagaan yang sedang dijalankan.

Ia membabitkan golongan miskin dan berpendapatan rendah yang mempunyai kemahiran untuk meneruskan perusahaan dalam bidang jahitan, perniagaan runcit, perniagaan makanan, pengasuh kanak-kanak serta kraftangan.


Pengarang :