PBTSELANGOR

Pesta Morib 2019 bakal tampil kelainan

BANTING, 4 SEPT: Pesta Morib 2019 bakal mencipta kelainan dengan mengetengahkan elemen udara, laut dan darat yang dijangka menarik minat lebih 30,000 pengunjung, pada 14 hingga 16 September ini.

Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohammad Kamal Mohd Ramlan berkata, lebih daripada 15 acara menarik dirangka khusus sepanjang tiga hari pesta berlangsung, di Pantai Morib, di sini.

“Antaranya, gerai jualan pertanian dan industri kecil sederhana, pameran dan jualan hartanah Kuala Langat, supa dupa, ‘toys fair’, pertandingan gasing moden (beyblade), pameran motosikal klasik, persembahan tarian tradisional, persembahan kebudayaan serta pertandingan mewarna.

“Kita membawakan acara sukaneka rakyat yang pasti menjadi tarikan utama membabitkan penyertaan pelbagai bangsa di daerah ini seperti tarik tali, tuju tin, panjat tiang licin, pukul bantal dan layang-layang selain pertandingan permainan tradisional dam haji, congkak, kabadi serta xianggi.

“Di samping itu, turut dianjurkan Kejohanan Paragliding Terbuka Jugra 2019, pertandingan membina istana pasir, pertandingan bola sepak pantai, pertandingan ragbi 10 sebelah dan pertandingan memancing,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika ditemui Media Selangor bagi mempromosikan pesta berkenaan, di Dataran Pantai Morib, di sini baru-baru ini.

Pada masa sama, katanya, orang awam bakal dihiburkan dengan persembahan nyanyian pada malam sambutan Hari Malaysia 2019, manakala keesokan harinya akan diadakan Morib Fun Run dan pertandingan Wau Tegak.

Mohammad Kamal berkata, kegemilangan pesta yang sinonim dalam kalangan pengunjung sejak lebih sedekad lalu dikembalikan selaras hasrat menjadikan daerah berkenaan sebagai Tahun Melawat Kuala Langat menjelang 2021.

“Idea pelaksanaan pesta ini timbul daripada Yang Dipertua, Mohammad Zain A Hamid memandangkan (beliau) mahu melihat kegemilangan Pantai Morib yang dahulunya terkenal dengan aktiviti bermandi-manda dan menjadi salah satu tempat pelancongan di Selangor.

“Justeru, (beliau) berhasrat mengangkat kembali pelbagai aktiviti melalui pesta ini yang dilihat dapat menarik bukan sahaja penduduk tempatan, malahan pelancong luar ke daerah ini, sekali gus meningkatkan industri pelancongan Kuala Langat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengunjung supaya menjaga keindahan Pantai Morib dengan tidak membuang sampah di merata-rata tempat, bagi memelihara imej dan nama baik Pihak Berkuasa Tempatan itu.

“Diharapkan Pesta Morib kali ini berjalan lancar seperti dirancang memandangkan persediaan kita sehingga kini berada pada tahap memberangsangkan,” katanya.

Pesta kali ini mendapat kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat; Persatuan Penggiat Seni dan Budaya Daerah Kuala Langat; Kelab Sukan dan Kebajikan MDKL; Kuala Langat Old Boys Rugby Club; Wak Jali Management; Refo Tech Enterprise; Persatuan Olahraga Amatur Daerah Kuala Langat; Jowo Bros Selangor dan Celcom.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat boleh hubungi Unit Korporat Dan Perhubungan Awam di talian 03-3180 3694 dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (03-3180 3140).


Pengarang :