Borhan Aman Shah. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pesta Morib 2019 promosi Kuala Langat, Sepang

BANTING, 16 SEPT: Pesta Morib 2019 yang menutup tirai hari ini berjaya mencapai sasaran apabila menghimpunkan lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 14 September lalu.

Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah berkata, lebih membanggakan apabila pesta terbesar anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) itu menerima penyertaan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat setempat, bahkan dari seluruh Selangor termasuk luar negeri.

Katanya, pendekatan diambil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dalam menghidupkan kembali pesta yang popular sejak lebih sedekad lalu wajar dipuji.

“Saya optimis sekiranya pesta ini diteruskan dengan menjadikannya sebagai acara tahunan, ia akan mendapat sambutan menggalakkan daripada semua peringkat lapisan masyarakat.

“Selain itu, penganjuran ini dilihat sebagai satu promosi bagi daerah Kuala Langat termasuk Sepang memandangkan Morib hingga ke Bagan Lalang adalah pesisiran pantai selatan bagi Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Penutup Pesta Morib 2019, di Dataran Pantai Morib, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MDKL, Mohd Yasin Alwi.

Terdahulu, Borhan menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah Morib Fun Run termasuk pemenang bagi 15 acara yang dipertandingkan sepanjang pesta itu diadakan.

Mengulas lanjut, Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar itu berkata, Kuala Langat sememangnya memiliki produk pelancongan unik sehingga sering mencuri perhatian pengunjung, khususnya dari Selangor dan pelancong dari luar negeri amnya.

Malah, katanya, pantai-pantai yang terletak di sekitar daerah berkeluasan kira-kira 85,775 hektar itu mampu menggamit tumpuan pencinta alam yang mahu merasai suasana perkelahan santai lagi mendamaikan.

“Di samping itu, terdapat banyak produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) buatan tempatan misalnya kerepek, kopi dan hab nenas yang menjadi nadi pertumbuhan ekonomi penduduk di sini,” katanya.

Pada masa sama, beliau optimis, kerjasama dan sokongan semua pihak dapat membantu MDKL dalam menggerakkan penganjuran Pesta Morib dengan skala lebih besar, pada masa hadapan.

“Saya akan memastikan program ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang dengan menawarkan lebih banyak acara mencabar supaya menarik pelancong dari luar negara,” katanya.

Mengangkat elemen udara, laut dan darat, Pesta Morib 2019 menyajikan lebih 15 acara menarik antaranya gerai jualan pertanian dan industri kecil sederhana, pameran dan jualan hartanah Kuala Langat, supa dupa, ‘toys fair’, pertandingan gasing moden (beyblade), pameran motosikal klasik, persembahan tarian tradisional, persembahan kebudayaan serta pertandingan mewarna.

Turut diadakan acara sukaneka rakyat yang pasti menjadi tarikan utama membabitkan penyertaan pelbagai bangsa di daerah ini seperti tarik tali, tuju tin, panjat tiang licin, pukul bantal dan layang-layang selain pertandingan permainan tradisional dam haji, congkak, kabadi serta xianggi.

Selain itu, Kejohanan Paragliding Terbuka Jugra 2019, pertandingan membina istana pasir, pertandingan bola sepak pantai, pertandingan ragbi 10 sebelah dan pertandingan memancing.

Pesta berkenaan mendapat kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat; Persatuan Penggiat Seni dan Budaya Daerah Kuala Langat; Kelab Sukan dan Kebajikan MDKL; Kuala Langat Old Boys Rugby Club; Wak Jali Management; Refo Tech Enterprise; Persatuan Olahraga Amatur Daerah Kuala Langat; Jowo Bros Selangor dan Celcom.


Pengarang :