BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Pesta Morib: MDKL tingkat kawalan keselamatan

BANTING, 13 SEPT: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mempertingkatkan kawalan keselamatan demi kelancaran lalu lintas sepanjang Pesta Morib 2019, di Dataran Pantai Morib.

Pegawai Komunikasi Korporat MDKL, Mohammad Kamal Mohd Ramlan berkata, pihaknya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselamatan pengunjung berada pada tahap terbaik sepanjang tiga hari pesta itu berlangsung bermula esok hingga 16 September ini.

“Mereka (PDRM) bersedia menjalankan tanggungjawab melaksanakan rondaan lalu lintas terutama bagi mengurangkan masalah kesesakan jalan raya memandangkan lebih 30,000 dijangka memeriahkan pesta ini.

“Malah, kami akan turut menempatkan anggota penguat kuasa MDKL di sini (Pantai Morib) bagi memantau keselamatan pengunjung sekali gus memastikan pesta gah ini berjalan lancar seperti dirancang,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, pengunjung disaran meletak kenderaan di sepanjang jalan ke Pantai Morib bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Kegemilangan Pesta Morib kembali diangkat pada tahun ini dengan mengetengahkan elemen udara, laut dan darat membabitkan lebih 15 acara.

Pesta kali ini mendapat kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Persatuan Penggiat Seni dan Budaya Daerah Kuala Langat, Kelab Sukan dan Kebajikan MDKL, Kuala Langat Old Boys Rugby Club, Wak Jali Management, Refo Tech Enterprise, Persatuan Olahrga Amatur Daerah Kuala Langat, Jowo Bros Selangor termasuk Celcom.


Pengarang :