EXCOSELANGOR

Pesta Morib tetap diteruskan

KLANG, 13 SEPT: Pesta Morib yang dijadual berlangsung esok hingga 16 September ini tetap diteruskan meskipun Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah Kuala Langat berada dalam kategori kurang sihat.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, hal itu memandangkan perancangan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) untuk menjayakan pesta itu sudah lama dilaksanakan.

“Kita tidak boleh membatalkan program ini sewenang-wenangnya, jadi mereka akan meneruskan penganjuran ini yang bermula esok.

“Bagaimanapun, kita meminta jasa baik penganjur supaya kesemua aktiviti yang sepatutnya diadakan di luar dipindahkan ke dewan, namun sekiranya ia tidak dapat dielakkan, pengunjung dinasihatkan memakai topeng muka sebagai langkah kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi pembakaran terbuka di Johan Setia dan mengagihkan topeng muka kepada penduduk di sekitar kawasan terbabit, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Shafee Yasin.

Pesta Morib 2019 menampilkan lebih 15 acara menarik yang disediakan khusus kepada pengunjung dengan mengangkat elemen udara, laut dan darat.

Loy Sian dijangka hadir bagi Majlis Perasmian pesta itu termasuk Kempen 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) serta #BebasPlastik di peringkat Pihak berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.


Pengarang :