PBTSELANGOR

Pihak luar disyaki laku pembakaran terbuka di Johan Setia

SHAH ALAM, 17 SEPT: Ahli Majlis Perbandaran Klang Zon N49B, Megat Shariffudin Shaharuddin tidak menolak kemungkinan ada pihak luar yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan pembakaran terbuka di kawasan Johan Setia.

Katanya, pihak yang tidak dikenal pasti itu didakwa membuat pembakaran atas pelbagai tujuan termasuk pembersihan kawasan tanah lapang, pertanian tidak berdaftar dan penerokaan tanah secara haram ketika berlakunya krisis jerebu ketika ini.

“Saya bersama pihak Pejabat Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Johan Setia menerima maklumat daripada sumber setempat bahawa petani tempatan tidak terbabit melakukan aktiviti pembakaran itu.

“Ini kerana mereka mendapat bimbingan dan tunjuk ajar yang cukup serta menerima bantuan subsidi pertanian oleh Pejabat Pertanian Daerah Klang dan MARDI Daerah Klang.

“Selain itu, data peribadi serta aktiviti pertanian mereka juga diambil oleh agensi berkenaan bagi tujuan pemantauan aktiviti,” katanya dalam kenyataan.

Megat Shariffudin berkata, pihak luar yang dipercayai melakukan pencerobohan di tanah milik persendirian termasuk kawasan pertanian tidak berdaftar dengan agensi pertanian.

Malah, katanya, pihak luar tidak bertanggungjawab itu juga dipercayai menggunakan khidmat tenaga kerja warga asing yang tidak mendapat latihan serta bimbingan daripada pihak berkaitan.

“Mereka juga dipercayai melakukan aktiviti tidak bertanggungjawab ini bertujuan untuk menjimatkan kos operasi.

“Saya yakin penduduk tempatan mempunyai kesedaran tinggi dalam memelihara alam sekitar di kawasan kediaman mereka dan keluarga masing-masing,” katanya.

Terdahulu, MPK menerusi team Penubuhan Pasukan Tindakan Segera (Pantas) memantau 24 jam di kawasan Johan Setia dan Pulau Indah bagi membendung aktiviti pembakaran terbuka di kawasan itu.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, dua unit pasukan itu bertugas 24 jam dan bersiap sedia jika menerima laporan ada aktiviti kebakaran terbuka.


Pengarang :