AGENDA NASIONAL

PLUS dinobat Pasukan Pengurusan Risiko Terbaik MARIM 2019

PETALING JAYA, 11 SEPT: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dinobatkan sebagai Pasukan Pengurusan Risiko Terbaik pada Persidangan Antarabangsa Persatuan Pengurusan Risiko dan Insurans Malaysia (MARIM) yang berlangsung di Hotel Le Meridien Putrajaya, 21 Ogos lalu.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pengiktirafan peringkat nasional ini merupakan satu penghormatan selepas memenangi Anugerah Risiko Strategik Asia Pasifik di Singapura.

Katanya, kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada PLUS untuk terus berusaha memberikan yang terbaik kepada pelanggan.

“Pengiktirafan peringkat nasional ini dicapai selepas kemenangan kami pada Anugerah Risiko Strategik Asia Pasifik di Singapura. Pengiktirafan ini merupakan sesuatu yang amat membanggakan dan ianya juga merupakan satu penghormatan apabila dipilih sebagai Pasukan Pengurusan Risiko yang terkemuka di negara ini.

“Memenangi anugerah Pasukan Pengurusan Risiko Terbaik untuk Tahun ini telah membuktikan bahawa pasukan PLUS ‘Enterprise Risk’ telah berusaha untuk melaksanakan strategi pengurusan risiko secara berkesan dan memberi nilai tambah kepada organisasi kami. Paling penting, kejayaan kami ini dapat diukur dan dinilai,” katanya dalam kenyataan.

Anugerah Pasukan Pengurusan Risiko Terbaik MARIM dinilai menerusi dua peringkat iaitu penyerahan dokumen komprehensif yang disediakan pasukan dan pembentangan kepada panel hakim yang diketuai Ketua Pengurusan Kesinambungan Perniagaan Airasia Berhad, Bernard Lee Tek Ming.

Panel lain yang terlibat dalam proses penilaian adalah Pengurus Besar MRCB, Faizatul Farhah Ghazali; Ketua Pengurusan Kesinambungan Perniagaan Maxis, Raja Amir Abdul Hakem Raja Hedar serta Penysarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Taipor Suhadah.

Antara agensi yang pernah memenangi anugerah sama adalah Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (2016), Telekom Malaysia Berhad (2017) dan Malakoff Corporation Berhad (2018).


Pengarang :