Datuk Azman Ismail (kanan sekali) bersama pemenang terdiri daripada pasukan pemasaran PLUS iaitu Christine Liew (kedua dari kiri), Ketua Pemasaran PLUS, Rosdi Effendi Mohammed Effendi (kiri sekali) dengan tiga trofi mereka. Foto PLUS MALAYSIA BERHAD
AGENDANASIONAL

PLUS lebuh raya pertama rangkul anugerah Mob-Ex

PETALING JAYA, 14 SEPT: Kempen ‘Senyuman Sepanjang Jalan’ berjaya mengangkat PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebagai syarikat pengendali lebuh raya pertama menerima anugerah Mob-Ex anjuran Marketing Magazine di Singapura, pada 30 Ogos lalu.

Kejayaan itu dicapai menerusi kempen dijalankan melalui aplikasi PLUS pada musim cuti persekolahan hujung tahun lalu.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, anugerah terkemuka di Asia Tenggara itu diberikan untuk mengiktiraf kempen pemasaran paling inovatif, kreatif dan berkesan.

“Pencapaian PLUS di peringkat Asia Tenggara amat istimewa kerana ia mengukur keupayaan jenama syarikat ini berbanding yang lain walaupun ia adalah kali pertama kami menyertainya.

“Ia juga membuktikan kejayaan kempen diadakan dalam membawa jenama PLUS ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada anugerah berkenaan, PLUS membawa pulang tiga anugerah Mob-Ex iaitu Aplikasi Terbaik bagi kategori Perkhidmatan Kerajaan (Anugerah Perak), Key Opinion Leader (KOL) Terbaik (Anugerah Gangsa) serta Aplikasi Terbaik bagi kategori Hospitaliti dan Perjalanan (Anugerah Gangsa) di Hotel Shangri-La, Singapura.

Azman berkata, kemenangan PLUS juga adalah pengiktirafan daripada pakar pemasaran mudah alih di rantau ini mengenai kualiti dan keberkesanan program pemasaran mudah alih PLUS menerusi Aplikasi PLUS serta Kempen ‘Senyuman Sepanjang Jalan’.

“Ia juga mengiktiraf program transformasi digital PLUS dan PLUS secara keseluruhan untuk memberi perkhidmatan serta meningkatkan pengalaman perjalanan lebih baik kepada pelanggan kami di setiap perjalanan mereka,” katanya.

Terdahulu, kesemua anugerah disampaikan penganjur dan rakan kerjasama kepada Ketua Pegawai Komersil PLUS, Christine Liew.

Sementara itu, sebanyak 81 pemenang daripada 27 kategori dipertandingkan turut menerima anugerah terbabit.

Antara pemenang yang menerima anugerah dalam kategori sama adalah Sport Singapore dan Workforce Singapore (Aplikasi Terbaik bagi Perkhidmatan Kerajaan), Malaysia Digital Economy Corporation dan XL Axiata (Key Opinion Leader Terbaik) serta Resorts World Sentosa dan UOB (Aplikasi Terbaik bagi Hospitaliti dan Perjalanan).


Pengarang :