Pengurus Perniagaan Wilayah Tengah PLUS, Husni Md Yusuf (tiga dari kiri) melihat hasil lukisan peserta dalam Pameran Pertandingan Lakaran Rukun Negara anjuran PLUS Malaysia Berhad di Galeri Jejantas Sungai Buloh. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PLUS pamer karya Rukun Negara murid sekolah rendah

SUNGAI BULOH, 12 SEPT: Dalam usaha menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, ‘Rakan Negara’ PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memberi peluang kepada murid sekolah rendah menceritakan pemahaman mereka terhadap Rukun Negara secara kreatif menerusi visual seni lakaran.

Pengurus Perniagaan Wilayah Tengah PLUS, Husni Md Yusuf berkata, Pertandingan Lakaran Rukun Negara julung-julung kali diadakan itu membabitkan penyertaan daripada lima sekolah berhampiran dengan lebuh raya.

“Seperti apa yang diajar di sekolah mereka mengenai semangat cintakan negara, pertandingan ini juga diadakan bagi mendidik dan menyemai nilai yang terdapat dalam rukun negara.

Mohd Syafrin Syawal, 9 teruja menunjukkan kepada ibu dan kakak beliau hasil lukisan peserta yang dipamerkan sempena Pertandingan Lakaran Rukun Negara anjuran PLUS Malaysia Berhad di Galeri Jejantas Sungai Buloh. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Lakaran atau gambar menceritakan seribu makna, oleh itu kami bukan sahaja menggalakkan peserta mempamerkan seni kreatif, malahan pelajar akan memahami dan menjiwai dengan lebih dekat Rukun Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pameran Pertandingan Lakaran Rukun Negara, di Galeri Jejantas Sungai Buloh, di sini.

Husni berkata, pihaknya menerima 1,000 penyertaan dari pelajar tahun empat, lima dan enam daripada lima sekolah yang terpilih berhampiran jajaran lebuh rayanya.

Antara sekolah yang terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa Bandar Country Homes; SK Seksyen 7 Bangi; SK Slim River Perak; SK Dato Kelana Tapak Perak dan SK Payamas Tangkak Batu 18, Johor.

Hasil lukisan peserta dipamerkan berhadapan Restoran KFC dalam Pameran Pertandingan Lakaran Rukun Negara anjuran PLUS Malaysia Berhad di Galeri Jejantas Sungai Buloh. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pada masa sama, katanya, sebanyak 44 karya yang terpilih juga dipamerkan di Galeri Jejantas Sungai Buloh itu bermula hari ini hingga Disember depan.

“Manakala, pemenang bagi pertandingan ini akan diumumkan pada 16 Oktober akan datang.

“Justeru, PLUS mengajak orang ramai untuk singgah menyaksikan terjemahan hasil kreatif pelajar ini menerusi pameran ini,” katanya.

Pemenang utama bakal memenangi wang tunai sebanyak RM2,000 dan RM5,000 pula akan dihadiahkan kepada pihak sekolah berkenaan.

Bagi peringkat sekolah pula sejumlah RM1,000 akan diberikan kepada pemenang peringkat pertama, RM800 dan RM500 pula untuk pemenang tempat kedua dan ketiga.

Selain itu, RM300 dan RM150 bagi pemenang keempat dan kelima serta RM50 kepada lima pemenang saguhati.


Pengarang :