AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM, isteri lawat Kemboja tiga hari mulai esok

PHNOM PENH, 1 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Kemboja bermula esok bakal menyaksikan kedua-dua negara memuktamadkan Perjanjian Pengecualian Cukai Berganda (DTA) dan sekali gus memperkukuh hubungan dagangan dua hala.

Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu merupakan antara agenda utama lawatan rasmi pertama Dr Mahathir sejak beliau memegang jawatan perdana menteri bagi kali kedua pada Mei tahun lepas.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata, perjanjian itu akan merancakkan sektor pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara.

“Perjanjian ini sudah lama kita tunggu… Kemboja merupakan negara ASEAN terakhir untuk menandatangani DTA dengan Malaysia.

“Disebababkan cukai berganda, ia sedikit sebanyak menghalang pelabur Malaysia datang ke Kemboja. Dengan DTA, lebih banyak syarikat Malaysia boleh meneroka peluang peniagaan dan pelaburan di sini,”katanya kepada wartawan Malaysia sempena lawatan rasmi Dr Mahathir di Kompleks Kedutaan Besar Malaysia di sini hari ini.

Beliau menambah bahawa dalam tiga bulan pertama tahun ini, pihak kedutaan telah menerima 20 permohonan syarikat Malaysia yang berminat untuk meneroka peluang perniagaan dan pelaburan di sini. Ini termasuk projek pembinaan hotel mega lebih 2,000 bilik bernilai AS$ 4 bilion.

Selain pemeteraian DTA, Dr Mahathir bakal menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama pelancongan Malaysia-Kemboja, satu usaha mengalakkan ketibaan pelancong kedua-dua negara.

Ini merupakan lawatan rasmi Dr Mahathir selepas 25 tahun. Lawatan terakhir Dr Mahathir ke Kemboja adalah pada tahun 1994

Eldeen berkata, Dr Mahathir yang diringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dijangka tiba di sini esok mempunyai jadual yang padat dimana beliau akan terus menghadiri sesi dialog bertajuk “Balancing Relations with the Superpowers in the Context of Asean” di Royal University of Phnom Penh (RUPP).

Selain itu, beliau akan menerima kunjungan hormat pemimpin Islam Kemboja yang juga Menteri Kanan Tugas Hal-Hal Agama, Othman Hassan selain mengadakan pertemuan dengan komuniti Islam di sini dan pada sebelah malam, beliau akan menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Kemboja.

Pada hari kedua lawatan rasmi, Dr Mahathir akan menghadiri upacara meletakkan kalung bunga di Tugu Kemerdekaan Kemboja.

Selepas itu, Perdana Menteri akan menghadiri upacara sambutan rasmi di Peace Palace, Pejabat Perdana Menteri dan mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatannya Hun Seng.

Kedua-dua pemimpin dijangka akan membincangkan isu-isu termasuk memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan, pertanian, pertahanan dan pembangunan industri halal.

Kedua-dua perdana menteri dijangka akan mengeluarkan kenyataan bersama di akhir pertemuan itu berhubung hasil perbincangan dalam meningkatkan kerjasama dan hubungan dua hala Malaysia-Kemboja.

Pada hari sama, Dr Mahathir akan mengadakan dialog dengan ahli perniagaan dan pelabur Malaysia membabitkan 28 syarikat Malaysia yang beroperasi di Kemboja.

Pada sebelah malam, Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah akan menghadiri majlis makan malam rasmi yang dihoskan Hun Seng.

Kemboja merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia di ASEAN dan yang ke-50 di dunia.

Nilai dagangan Malaysia-Kemboja mencatat US$ 558 juta pada tahun lepas manakala pada enam bulan pertama tahun ini, ia telah mencecah US$ 422.6 juta. peningkatan sebanyak 39.2 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

– BERNAMA


Pengarang :