Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Forum Pemimpin Dunia di Universiti Columbia, pada 25 September 2019. Beliau berada di New York sempena sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

PM: Multilateralisme lebih bermanfaat

NEW YORK, 26 SEPT: Ancaman terbesar kepada multilateralisme adalah unilateralisme yang berlaku apabila negara-negera berkuasa memilih untuk melakukan perkara mengikut cara mereka sendiri, kata Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata dalam keadaan ini, negara berkenaan tidak akan mempertimbangkan perasaan atau memikirkan tentang negara-negara lain.

“Tetapi, oleh kerana kekuatan mereka, mereka memutuskan untuk membuat keputusan dan melakukan sesuatu perkara sendiri – demi kepentingan mereka tanpa menghiraukan orang lain yang terkesan dengan apa sahaja yang dilakukan mereka,” katanya.

Dr Mahathir yang berada di bandar raya ini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-74 berkata demikian pada Forum Pemimpin Dunia di Columbia University di sini, semalam.

Mengenai bagaimana multilateralisme berjaya di Malaysia, perdana menteri menegaskan bahawa negara itu sentiasa percaya dengan penyelesaian melalui rundingan, timbang tara atau undang-undang mahkamah.

“Sekiranya kami menyokong unilateralisme, kami akan menyelesaikan masalah melalui konfrontasi dan mungkin perang. Tetapi kami tidak pernah melakukannya. Sebaliknya, kami berunding dengan negara jiran,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata perkongsian kuasa dalam kalangan pelbagai kaum yang memerintah negara juga membentuk multilateralisme bagi Malaysia.

Dr Mahathir juga memerhati bahawa dunia pada masa ini telah menjadi saling berkaitan dan semakin kecil, dengan apa yang dilakukan sesuatu negara akan mempengaruhi negara lain.

“Jadi, multilateralisme adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan sekarang. Mengakui bahawa Malaysia yang merupakan negara perdagangan sejak lama dahulu, memutuskan bahawa dunia yang lebih besar akan menjadi pasaran lebih besar. Sekarang, kami mempunyai seluruh dunia sebagai pasaran.

“Oleh kerana seluruh dunia telah menjadi pasaran, adalah penting bagi semua negara di dunia kekal aman dan stabil serta dapat menjadi rakan dagang kami,” katanya.

Dr Mahathir juga menegaskan bahawa sebarang cubaan untuk menghentikan perdagangan atau melaksanakan sekatan dan sebagainya akan memberi kesan negatif.

Apabila sekatan dikenakan, beliau berkata, ia bermaksud bukan hanya negara yang dipilih untuk dikenakan sekatan itu terjejas kerana ketidakupayaannya berdagang tetapi negara lain juga mengalami kesan kerana mereka tidak dapat melakukan perdagangan dengan negara terlibat.

Perdana Menteri menganggap situasi ini tidak akan menyumbang kepada kesejahteraan atau penciptaan kekayaan di dunia ini.

“Jadi, kita semua lebih kepada multilateralisme tetapi sudah tentu perlu ada peraturan tertentu yang mengawal sebarang tindakan kita, tetapi peraturan itu tidak boleh mengehadkan perdangangan tetapi mempromosikan lebih banyak perdagangan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :