AGENDANASIONAL

Polis buru sekumpulan lelaki disyaki samun dua rumah

SHAH ALAM, 26 SEPT: Polis sedang memburu sekumpulan lelaki yang disyaki terlibat dengan dua kes samun dan satu cubaan samun dalam kejadian berasingan di sekitar Klang, dekat sini malam semalam hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian pertama kira-kira pukul 11 malam di sebuah rumah teres di Taman Pendamar Indah 2, Pandamaran, seorang wanita berumur 50 tahun disamun kumpulan terbabit yang bersenjatakan parang panjang.

“Semasa kejadian, wanita yang bekerja sebagai pengurus cawangan sebuah pejabat pos itu berada di rumahnya sebelum didatangi empat lelaki tempatan memakai ‘topeng ski’ dan membawa senjata berkenaan.

“Mereka menyamun wanita itu dan melarikan seutas rantai leher emas, tiga bentuk cincin, satu subang emas, tiga telefon bimbit, dua kunci kereta dan wang tunai sebanyak RM130.

“Kerugian mangsa dianggarkan sekitar RM10,000, namun wanita itu tidak dicederakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shamsul Amar berkata, selang empat jam selepas kejadian pertama iaitu sekitar pukul 3 pagi, kumpulan sama dipercayai menyamun sebuah lagi rumah teres di Taman Sentosa Jaya, Klang membabitkan seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori.

Katanya, dalam kejadian itu, terdapat lima lelaki menggunakan modus operandi samun yang sama iaitu bersenjatakan parang panjang namun menutup muka mereka menggunakan kain.

“Dalam kejadian ini, suspek bertindak memasuki rumah mangsa untuk menyamunnya dan melarikan seutas rantai emas, dua bentuk cincin emas, satu gelang emas dan satu telefon bimbit. Anggaran kerugian sekitar RM8,000.

“Mangsa berumur 28 tahun ini juga tidak dicederakan. Menurut laporan mangsa, kesemua suspek kemudiannya melarikan diri menaiki kenderaan jenis Honda CR-V berwarna gelap tetapi tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya,” katanya.

Shamsul Amar berkata, sejurus kejadian kedua, kumpulan sama dipercayai cuba menyamun sebuah lagi rumah teres dan kali ini di Taman Klang Jaya, Klang.

Katanya, mangsa berumur 59 tahun dan tidak bekerja itu kebetulan baharu hendak melelapkan mata namun terdengar bunyi di luar rumahnya menyebabkan lelaki itu cuba meninjau melalui tingkap.

“Mangsa melihat tiga lelaki bertopeng serta bersarung tangan sedang memanjat pagar selain cuba membuka pintu kediamannya.

“Mangsa terus menyalakan lampu rumah menyebabkan kesemua suspek segera melarikan diri menaiki sebuah kenderaan jenis sama dengan kejadian kedua,” katanya dan menambah kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 393 Kanun Keseksaan.

Shamsul Amar berkata siasatan lanjut mengenai kejadian samun itu sedang dijalankan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya segera menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan atau mana-mana balai berhampiran.

-BERNAMA


Pengarang :