BERITA UTAMA

‘Poster Kuning Diraja’ warnai ibu negara sempena Hari Keputeraan Agong

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Menjelang sambutan Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong esok, jalan utama di sekitar ibu negara dan Istana Negara meriah dihiasi gegantung serta kain rentang memaparkan gambar Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selain gambar Seri Paduka berdua, poster dan gegantung berwarna kuning diraja itu turut memaparkan ucapan merafak sembah tahniah kepada Al-Sultan Abdullah yang menyambut ulang tahun keputeraan ke-60, tahun ini.

Antara kawasan yang dihiasi poster dan gegantung berkenaan adalah sekitar Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Cangkat Semantan, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Tun Razak.

Selain itu, premis swasta sekitar Kuala Lumpur turut dilihat memasang poster ucapan merafak sembah tahniah di bangunan masing-masing.

Di Twitter, pelbagai agensi kerajaan, syarikat dan organisasi swasta serta netizen turut menzahirkan ucapan merafak sembah tahniah selain menitipkan doa untuk kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong.

Tarikh 9 September diwartakan sebagai cuti umum sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong bagi tahun ini.

Tepat 9 malam ini, Yang di-Pertuan Agong dijadual menyampaikan titah sempena sambutan itu yang disiarkan secara langsung melalui televisyen dan radio di seluruh negara.

Bagi acara kemuncak sempena sambutan hari istimewa Al-Sultan Abdullah esok, akan berlangsung Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara dan diikuti dengan Majlis Jamuan Teh Diraja pada sebelah petang.

Pada 12 September akan berlangsung Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

-BERNAMA


Pengarang :