AGENDANASIONAL

PRK Tanjung Piai: PAKATAN fokus perkasa rakyat, tolak kempen perkauman

KOTA BHARU, 26 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan memberi fokus kepada usaha menaikkan taraf hidup masyarakat sebagai teras kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salehuddin Ayub berkata, dalam masa yang sama PAKATAN juga akan menolak sebarang kempen berteraskan idelogi perkauman dan agama yang sempit.

“Kita akan terangkan kepada rakyat mengenai dasar-dasar yang dibuat PAKATAN terutama mengenai program-program untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

“Kita sesekali tidak akan membawa politik perkauman dan agama yang semput dan dalam masa yang sama kita menggalakkan rakyat bersederhana (dalam bermain politik),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi dan memberi sumbangan peralatan kepada peserta Rezeki Tani, Nor Asiah Ali, 48, di Sungai Keladi di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Salehuddin berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal pada Ahad ini bagi membincangkan strategi yang akan digunakan PAKATAN pada PRK berkenaan.

“Semalam juga telah diadakan mesyuarat di peringkat Amanah untuk membincangkan perkara berkenaan dan saya telah mengarahkan Amanah Johor untuk bersiap-siaga bagi menghadapi PRK Tanjung Piai,” katanya.

Ditanya adakah PAKATAN bakal menerima cabaran selepas UMNO dan PAS menandatangani piagam pada 14 September lalu, Salahuddin berkata Amanah sedia berhadapan dengan gabungan baharu itu.

Penyandang Parlimen Tanjung Piai yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia pada Sabtu lepas akibat serangan jantung.

Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti 524 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan bahawa mesyuarat khas akan diadakan pada 1 Oktober ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK Parlimen Tanjung Piai.
— BERNAMA


Pengarang :