AGENDANASIONAL

Produk Hamer Ginseng & Coffee Candy ada racun Nortadalafil

SHAH ALAM, 5 SEPT: Sejumlah RM18,910 nilai produk Hamer Ginseng & Coffee Candy dirampas Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan dalam serbuan ke atas 19 premis di sekitar Lembah Klang sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil pemeriksaan mendapati produk-produk itu mengandungi racun berjadual Nortadalafil dan disahkan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Katanya, Nortadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan untuk merawat masalah fungsi seksual lelaki (impotensi atau erectile dysfunction) manakala pembekalan produk mengandungi racun berjadual adalah tertakluk di bawah Akta Racun 1952.

“KKM melalui BPF membuat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas pihak yang mengilang, mengedar dan menjual produk Hamer Ginseng & Coffee Candy di pasaran.

“Sepanjang tahun lalu sebanyak enam serbuan dilakukan merangkumi rampasan produk berjumlah 328 paket dengan nilai rampasan RM2,724,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 87 platform membabitkan laman sesawang dan media sosial berkaitan penjualan produk itu disaring, dipantau dan diambil tindakan sekatan di seluruh negara oleh BPF.

Sementara itu, katanya, sebanyak 21 notifikasi juga dikeluarkan kepada pengendali e-dagang untuk menurunkan iklan penjualan produk tersebut dari tahun 2018 hingga kini.

“Kolaborasi bersama pihak antarabangsa seperti interpol dan agensi kesihatan luar negara turut diadakan dalam usaha membanteras aktiviti sedemikian,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, penjualan racun berjadual tanpa lesen yang sah boleh disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta sama iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Justeru, KKM menasihati orang ramai yang mempunyai stok produk tersebut untuk menghentikan dengan serta-merta semua penjualan, pengedaran atau pengunaan produk terbabit,” katanya.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan serta melalui talian 03-7841 3200.

Berdasarkan rekod, Nortadalafil dikelaskan sebagai Racun Kumpulan B di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952 dan ahli farmasi berlesen hanya boleh membekalkan produk itu kepada pesakit melalui preskripsi sah yang dikeluarkan Pengamal Perubatan Berdaftar, Pengamal Pergigian Berdaftar atau Pegawai Veterinar.

Penggunaan Nortadalafil tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah sehingga ke peringkat merbahaya serta kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok juga serangan jantung yang boleh menyebabkan kematian.


Pengarang :