Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya menyantuni peserta selepas merasmikan Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Selangor 2019 berlangsung di Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Produk inovasi Selangor rentasi persada antarabangsa

SHAH ALAM, 11 SEPT: Produk inovasi dihasilkan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor menempa banyak kejayaan di peringkat antarabangsa berbanding dahulu yang hanya melangkaui peringkat organisasi atau kebangsaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, buktinya lima jabatan akan mewakili Selangor ke Konvensyen Antarabangsa Mengenai Bulatan Kawalan Kualiti (ICQCC) 2019, di Keio Hotel Plaza Tokyo, Jepun, pada bulan ini.

“Ini termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

“Kita boleh berbangga mengatakan bahawa projek inovasi oleh jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Selangor mampu untuk berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Selangor (MPIPANS) 2019, di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie Diron dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor.

Selain itu katanya, empat agensi juga akan mewakili Selangor ke Persidangan Antarabangsa Kualiti Organisasi Asia Pasifik (APQOIC) Ke-25 serta Konvensyen Kualiti dan Produktiviti Antarabangsa (IQPC) 2019, di The Stones Bali, Indonesia.

“Antara agensi yang mendapat kelayakan itu ialah MPAJ, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada agensi-agensi lain untuk turut mengorak langkah sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.


Pengarang :