Haniza Talha bergambar selepas Majlis Persidangan Inovasi Makanan IN4TEC 2019 di Dewan Pameran Tingkat 4, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 27 September 2019.
EXCOSELANGOR

Projek `Makanan Harga Patut’ sokong usahawan berdaya saing

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Inisiatif projek ‘Makanan Harga Patut’ akan menyokong usahawan secara menyeluruh melalui program suntikan modal, kelengkapan niaga, teknologi, keperluan cawangan, latihan dan sokongan kepada ahli berkenaan.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, pelaksanaan itu sekali gus membolehkan usahawan memasuki pasaran dan terus berdaya saing dalam setiap cabang perniagaan diceburi.

“Melalui bantuan teknologi IR4.0, golongan B40 di kawasan bandar mampu memiliki perniagaan
sendiri dan secara langsung meningkatkan ekonomi keluarga.

“Program ini bermula di Selangor sebelum diperluaskan ke seluruh Malaysia pada masa akan datang.

“Ia akan menggalakkan pengusaha makanan halal menjualnya pada harga lebih kompetitif yang mampu dibeli pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Persidangan Inovasi Makanan IN4TEC 2019 di Dewan Pameran Tingkat 4, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, kelmarin.

Pada majlis sama, Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jawatankuasa Tetap Perumahan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, In4Tec dan Hijrah Selangor serta pelaksanaan Projek Perintis Inisiatif Meningkatkan Kehidupan Bandar B40 turut dimeterai dan ditandatangani.

MoU ‘Makanan Harga Patut’ itu ditandatangani antara Haniza, Pengerusi Eksekutif Hijrah Selangor, Dato’ Mansor Othman dan wakil IN4TEC, Loke Lee Sah.

Haniza berkata, penganjuran persidangan inovasi yang memfokuskan kepada usahawan mikro amat bertepatan dalam usaha Kerajaan Negeri untuk membantu meningkatkan ekonomi rakyat, khususnya kumpulan B40.

IN4TEC Enabled adalah jaminan mutu kepada pengguna bahawa pembelian makanan mematuhi ‘Halalan Toyyiban’ di mana asal-usul dan sumber-sumber daripada keseluruhan rantai ladang ke meja dapat dikesan.

Sementara IN4TEC Produce adalah ikrar kepada pengguna bahawa makanan yang dibeli dan dimakan dihasilkan sejajar dengan teknologi pengilangan IR4.0.


Pengarang :