Selangorkini
BERITA UTAMA

Proses pelaksanaan penuh Undi18 diketahui akhir 2021

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Status proses pelaksanaan sepenuhnya Undi18 tahun dijangka akan dapat diketahui sekurang-kurangnya pada akhir tahun hadapan atau selewatnya pada akhir 2021, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata ini kerana SPR perlu mengambil kira beberapa keperluan serta sesi libat urus terlebih dahulu bagi menyediakan satu pendekatan yang menyeluruh serta berkesan dalam tempoh antara 18 hingga 24 bulan dari sekarang.

Katanya, Undi18 itu juga melibatkan tiga komponen utama iaitu umur layak mengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun, umur layak menjadi calon diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun dan pendaftaran warga negara yang layak sebagai pemilih secara automatik.

“SPR akan memaklumkan kepada pihak Kerajaan serta pembangkang dari semasa ke semasa mengenai status kesediaan SPR untuk melaksanakan sepenuhnya Undi18 yang berkenaan.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa Undi18 itu akan hanya dilaksanakan sama ada secara bersekali (melibatkan ketiga-tiga komponen utama) atau berasingan iaitu dengan berperingkat setelah mempertimbangkan pandangan pelbagai pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar Azizan berkata pada masa ini, SPR sedang meneliti isu-isu berkaitan pelaksanaan penuh Undi18 untuk menyediakan satu garis masa dan kajian kos yang lengkap mengenai pelaksanaan undi tersebut.

Antara isu-isu yang berkaitan katanya termasuk menaik taraf sistem ICT SPR, keperluan data-data dari jabatan atau agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara atau Mahkamah serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain itu, pindaan kepada mana-mana undang-undang atau peraturan pilihan raya yang perlu untuk melaksanakan Undi18 dan pindaan kepada Perlembagaan Negeri ataupun Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan warga negara yang berumur 18 tahun menjadi calon Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata penelitian dibuat termasuk kajian mengenai pusat-pusat mengundi baharu yang perlu diwujudkan untuk menampung pertambahan jumlah pengundi yang mendadak pada pilihan raya akan datang dan penetapan lokaliti pengundi-pengundi baharu.

Berdasarkan rekod, kerajaan menjangkakan seramai 7.8 juta pengundi baharu dimasukkan ke dalam daftar pemilih setiap tahun sehingga tahun 2023.

Dianggarkan jumlah pengundi pada tahun 2023 akan meningkat lebih daripada 50 peratus menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas.

Sementara itu, mengenai penglibatan pengundi 18 tahun pada Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Sarawak Ke-12, beliau berkata SPR tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai tarikh pembubaran awal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Menurut Azhar Azizan tarikh PRU bagi negeri berkenaan masih tidak dapat dipastikan, justeru itu persoalan sama ada pengundi-pengundi 18 tahun dapat mengundi pada PRU tersebut tidak dapat dijawab secara tepat pada masa ini.

-BERNAMA


Pengarang :