Wan Saiful Wan Jan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PTPTN sasar deposit SSPN lebih RM1 bilion tahun ini

SEREMBAN, 22 SEPT: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan untuk mendaftarkan 500,000 pemegang akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan jumlah deposit melebihi RM1 bilion, tahun ini.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, ini susulan kejayaan yang diraih agensi itu pada tahun lepas yang merekodkan 678,829 pemegang akaun dengan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM1.13 bilion.

“Bagi tempoh Januari sehingga 31 Julai lepas, SSPN merekodkan sebanyak 256,135 pemegang akaun dengan jumlah deposit sebanyak RM477.25 juta,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah SSPN 2019 peringkat Negeri Sembilan, yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun di sini, hari ini.

Wan Saiful berkata, SSPN adalah produk yang amat mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat serta menyifatkannya sebagai perkembangan yang baik dan berharap kesedaran menabung dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berkata pendidikan merupakan aset utama dalam pelaksanaan pembangunan negara dan kerajaan katanya amat menitik berat soal pendidikan bagi pembangunan modal insan bagi mencapai negara yang makmur dan maju.

Di Negeri Sembilan katanya, sejak 2004 sehingga Julai tahun ini sebanyak 191,013 akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM179.9 juta manakala bagi tempoh Januari hingga 31 Julai tahun ini, sejumlah 12,301 pemegang akaun membabitkan deposit terkumpul sebanyak RM18.4 juta direkodkan di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau menyeru ibu bapa yang belum mempunyai perancangan kewangan pendidikan, supaya memulakan langkah penabungan segera.

Pada majlis itu, Wan Saiful turut memberikan sumbangan akaun SSPN-i kepada 320 pelajar asnaf melibatkan lapan kawasan Parlimen di seluruh negeri ini melalui peruntukan wakalah zakat PTPTN yang berjumlah RM32,000.

Setiap pelajar menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka oleh PTPTN melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

SSPN sejak diwujudkan pada 2004 dan sehingga 31 Julai lalu merekodkan 4.2 juta akaun dengan deposit berjumlah RM5 bilion, di seluruh negara.

Program Jelajah SSPN yang bertujuan untuk membuat hebahan kepada masyarakat berkaitan budaya penabungan bagi pendidikan tinggi, berlangsung selama dua bulan mulai bulan lepas membabitkan 12 lokasi di Semenanjung, 11 lokasi di Sabah dan 10 di Sarawak.

– BERNAMA


Pengarang :