Dr Xaviar Jayakumar dan Hasnul Baharuddin serta tetamu lain bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Malaysia 2019 peringkat Daerah Kuala Langat di Pantai Morib pada 15 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Rakyat diseru berganding bahu maju negeri

MORIB, 16 SEPT: Rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan agama diseru bersama berganding bahu untuk terus memajukan negeri ini selaras negara maju lain.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar berkata, rakyat perlu meningkatkan kesedaran dalam diri mereka sekali gus memupuk perasaan kasih sayang antara kaum.

Katanya, perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan kesinambungan hubungan baik zaman nenek moyang dahulu tidak kira Melayu, Cina dan India dapat menjalani kehidupan penuh harmoni.

“Selain itu, kita juga perlu bersama berusaha meningkatkan kemajuan diri dan keluarga dari segi ekonomi atau pendidikan.

“Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan kestabilan dan keharmonian,” katanya yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Malaysia 2019 peringkat Kuala Langat di Pantai Morib di sini, malam tadi.

Kibaran Jalur Gemilang oleh para hadirin sempena Sambutan Hari Malaysia 2019 peringkat Daerah Kuala Langat di Pantai Morib pada 15 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin dan Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim.

Pada masa sama, Xavier berkata, penduduk di Kuala Langat juga perlu memainkan peranan untuk bersama memajukan daerah berkenaan memandangkan ia bakal diangkat sebagai Majlis Perbandaran tidak lama lagi.

“Saya menyeru khususnya penduduk Kuala Langat untuk bersatu-padu memajukan daerah ini seiring hasrat Kerajaan Negeri mahu menjadikan Kuala Langat ke arah Majlis Perbandaran,” katanya.

Terdahulu, lebih kurang 5,000 orang hadir pada program sambutan Hari Malaysia 2019 yang berlangsung di Dataran Pantai Morib di sini.

Program diadakan serentak dengan Pesta Morib 2019 itu dianjurkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Sambutan Hari Malaysia itu dimeriahkan dengan pelbagai persembahan termasuk tarian tradisional, nyanyian dan pencak silat.

Program turut diserikan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Jalur Gemilang daripada pengunjung yang hadir.


Pengarang :