PENDAPATRENCANA

Rakyat Malaysia masih dibelenggu berita palsu

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Sehingga 23 September tahun ini, laman sesawang Sebenarnya.my menyiarkan 11 artikel penjelasan berkenaan isu dan berita palsu yang ditularkan melalui internet.

Penjelasan terbaharu yang dibuat oleh portal yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu adalah mengenai penyebaran senarai 13 restoran yang didakwa dimiliki bukan Islam dan kononnya mempergunakan pekerja Melayu dan sijil halal palsu untuk menipu pelanggan Islam.

Pada masa sama, Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut membuat penafian rasmi berhubung perkara itu.

Setakat ini, Sebenarnya.my telah menyiarkan 135 artikel penjelasan dan pembetulan fakta terhadap ‘berita-berita’ yang disebarkan di internet terutamanya melalui media sosial.

Portal itu ditubuhkan pada 14 Mac 2017 sebagai pusat sehenti bagi mengekang berita-berita palsu dalam talian yang semakin berleluasa khususnya dalam media sosial.

Ini jelas menunjukkan bahawa berita palsu masih membelenggui rakyat dan pihak berkuasa terpaksa terus tampil memberi penjelasan mengenainya, selain sering mengingatkan mereka bahaya yang menanti jika berita palsu sentiasa menjadi santapan minda mereka.

Ramai yang tidak sedar bahawa penyebaran berita palsu boleh memberi impak negatif kepada negara daripada pelbagai aspek termasuk menimbulkan keresahan masyarakat, menimbulkan kebencian dan lebih teruk lagi boleh mengakibatkan huru-hara.

Berita tidak benar boleh timbul dalam pelbagai bentuk. Ia mungkin berbentuk fitnah, menyebarkan aib sesetengah pihak dan boleh menjadi perkara yang disalah tafsir pihak yang menyebarkannya, tanpa ada niat untuk menipu.

Masalah dunia

Pengarah Institut Pendidikan Neo (iNED), Prof Dr. Azizul Halim Yahya berkata, penularan fitnah melalui media sosial dan internet bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di serata dunia.

Beliau berkata, internet memudahkan akses kepada landasan penyampaian maklumat yang membolehkan penyampaian sebarang maklumat, sama ada benar mahupun fitnah, dilakukan dengan mudah dan tanpa pantauan.

Meskipun ada beberapa perkara yang dikongsikan di internet dilakukan sekadar gurauan atau permainan, namun audiens yang membaca atau menonton maklumat itu belum tentu dapat membezakan realiti antara dua keadaan itu, katanya.

Azizul yang juga bekas Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan bahawa dengan kecanggihan teknologi masa kini, perbuatan menyunting gambar, video, logo, surat, cop mohor dan sebagainya boleh dibuat dengan ‘bersih’ sehingga sukar dikesan sama ada ia palsu atau tulen.

Menurut beliau, keadaan ini semestinya boleh membawa kesan kepada situasi politik, ekonomi dan sosial dalam negara.

“Apabila rakyat mempercayai sesuatu yang tidak benar, mereka tidak boleh membuat pertimbangan yang betul. Tambah buruk lagi jika ahli politik yang terlibat dalam penggubalan undang-undang negara (juga mempercayai berita palsu dan) mereka akan membuat pertimbangan yang salah dengan kesannya hanya dilihat lama selepas itu.

“Apa juga polisi yang dibuat tanpa disemak dengan teliti, ia akan menjadi tidak baik dan akan merosakkan situasi pada waktu itu dan pada masa akan datang. Ini turut memberi kesan kepada perkembangan ekonomi negara apabila pelabur dari luar takut untuk masuk ‘menanam’ pelaburan mereka di negara kita,” katanya.

Sensitiviti kaum

Amalan ‘citizen journalism’ atau kewartawanan awam’ yang semakin digemari warganet sesuai dengan perkembangan teknologi dan kepelbagaian platform media sosial juga menyumbang kepada pertambahan dan penularan berita palsu.

Sekiranya seseorang warganet memainkan peranan sebagai ‘wartawan’ tanpa memahami etika dan amalan pemberitaan yang betul, ia boleh memberi kesan kepada tahap integriti bahan yang disebarkan.

Penulisan status, komen, ciapan, siaran gambar, poster, ‘meme’ atau video yang dibuat tanpa memahami faktor sosiobudaya dan sensitiviti kaum boleh mengakibatkan timbulnya rasa tidak senang, terhina atau tersinggung.

Keadaan menjadi lebih buruk jika ia kemudian menjadi punca perbalahan, pergaduhan atau rusuhan dalam kalangan masyarakat yang selama ini hidup rukun damai dalam suasana harmoni.

Persaingan sesama warganet atau portal-portal untuk menjadi ‘yang pertama’ menyiarkan sesuatu berita juga boleh menyebabkan mereka sanggup untuk mengetepikan aspek kredibiliti dan integriti maklumat yang disebar dan ditularkan.

Pensyarah kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Shekh Alsagoff berkata, bahan-bahan berbentuk spekulasi, tuduhan dan penghinaan adalah antara perkara yang boleh memberi impak besar kepada negara.

“Mereka mahu menyebarkan maklumat dengan pantas dan menarik tanpa memikirkan akibat kepada orang tertentu yang menjadi mangsa penyebaran berita itu. Kadang-kala berita itu betul tetapi hanya disiarkan ‘separuh jalan’ untuk menarik perhatian pembaca,” katanya kepada Bernama.

Perlukan dididik

Walaupun Malaysia mempunyai beberapa undang-undang yang boleh mengekang penyebaran berita palsu, katanya, cara yang paling berkesan untuk menangani isu itu adalah melalui pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat.

“Penekanan budaya ‘self-regulation’ atau kawal selia kendiri akan mendidik masyarakat untuk meneliti semua bentuk kandungan yang mereka terima berdasarkan sumber sah, sahih dan kesesuaian maklumat itu dengan adab dan budaya kita sebagai sebahagian daripada proses menilai sama ada maklumat yang diterima itu benar atau salah,” jelas beliau.

Syed Agil menarik perhatian kepada beberapa berita palsu dan berita diragui yang pernah memberi kesan buruk kepada masyarakat Malaysia seperti penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan penyebaran berita kononnya ada pergaduhan antara kaum di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Menurutnya media terutamanya media arus perdana perlu terus memainkan peranan dalam mendidik masyarakat dan tidak hanya memberi tumpuan kepada berita bersifat sensasi seperti yang banyak disebarkan di media sosial.

– BERNAMA


Pengarang :