Amirudin Shari ditemui pemberita selepas selesai merasmikan Pelancaran Akademik Kepimpinan Wanita (AKW) peringkat Selangor di Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rakyat sengsara banjir, kerajaan rugi lewat siapkan projek

SHAH ALAM, 19 SEPT: Lebih 1,000 penduduk tempatan di Dewan Undangan Negeri Paya Jaras menanggung sengsara akibat banjir gara-gara kelewatan Projek Tebatan Banjir Sungai Kedondong disiapkan.

Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri juga terpaksa menanggung kos tambahan kira-kira RM2 juta disebabkan kelewatan projek itu disiapkan apabila penduduk yang mendiami penempatan haram di atas tanah rizab sungai enggan berpindah.

“Isu ini melibatkan kawasan dan lokaliti yang lebih besar, turut melibatkan kawasan Merbau Sempak dan Paya Jaras terkesan dengan banjir lebih parah jika projek ini tak diteruskan pada masa hadapan.

“Ini permohonan beberapa Organisasi Bukan Kerajaan mereka yang sendiri hubungi saya termasuk ketua mereka bernama Azroy, mereka cuma minta tangguh hingga sampai UPSR dan kita penuhi sehingga tahap itu.

“Bagaimanapun kita ada hadnya sebab kalau kita tangguh lagi, setiap bulan atau dalam tempoh tertentu kita kena tambah kos RM2 juta yang akan ditanggung Kerajaan Negeri kerana gagal mengambil tindakan dan menyebabkan kontraktor gagal siapkan projek tebatan banjir di Sungai Kedondong ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Pelancaran Akademi Kepimpinan Wanita di Shah Alam Convention Centre di sini, hari ini.

Amirudin berkata, berdasarkan rekod, tidak kurang tiga kali dalam tempoh kurang setahun setengah kawasan Paya Jaras dilanda banjir.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, sekurang-kurangnya empat kampung di Paya Jaras sering dilanda banjir iaitu Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu.

Selain itu, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya telah dua kali dipanggil Jabatan Audit Negara disebabkan kelewatan projek ini disiapkan.

Amirudin menggesa semua pihak melihat isu perobohan kediaman haram berhampiran Sungai Kedondong dengan lebih menyeluruh dan bukannya mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh.


Pengarang :