Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador (tengah) bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (kiri) menunjukkan sebahagian daripada 60 tan arang batu yang mengandungi dadah jenis kokain dengan anggaran seberat 12 tan bernilai RM2.4 bilion pada sidang media di Balai Polis Bayan Baru pada 20 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDA JENAYAH

Rampasan terbesar, dadah RM2.4 bilion dalam arang batu

GEORGE TOWN, 20 SEPT: Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa apabila merampas 12 tan kokain dicampur dengan arang batu bernilai RM2.4 bilion dalam tiga kontena di Terminal Kargo Utara Butterworth, 10 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata, sindiket membawa dadah dalam 60 guni arang batu dari Amerika Selatan itu berjaya ditumpaskan menerusi Op Eagle yang dijalankan di sekitar Butterworth dan Bayan Baru, dekat sini, serta Padang Serai, Kedah.

“Ini merupakan rampasan dadah terbesar di negara ini,” katanya pada sidang media di Balai Polis Bayan Baru, Bayan Lepas, di sini, hari ini.

Beliau berkata sindiket itu menggunakan taktik terbaru untuk mengaburi pihak berkuasa dengan mencampurkan dadah bersama 60 tan arang batu yang sukar dikesan sehingga polis terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Kimia.

Menurutnya, anjing pengesan K9 juga gagal mengesan dadah tersebut.

Beliau berkata ketiga-tiga kontena tersebut tiba di sini pada 16 Ogos lalu dan sindiket itu menggunakan Malaysia sebagai transit sebelum dadah berkenaan dihantar ke negara ketiga.

Abdul Hamid berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang terbabit dalam pengurusan kontena berkenaan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, lelaki yang turut positif methamphetamine itu direman sehingga Isnin ini dan kes disiasat menurut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan wajar mempertingkatkan penggunaan teknologi terkini jabatan-jabatan berkaitan berikutan sindiket antarabangsa kini menggunakan pelbagai kaedah canggih bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Sementara itu, Abdul Hamid menyifatkan jumlah tangkapan dan rampasan dadah di negara ini dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini amat membimbangkan.

Beliau berkata dari 1 Januari hingga 12 September lalu, seramai 130,928 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan iaitu membekal dadah seramai 19,948 orang, memiliki dadah (48,468 orang) dan positif ujian air kencing (62,891 orang) membabitkan lebih lima tan dadah pelbagai jenis bernilai RM285.92 juta.

-BERNAMA


Pengarang :