Pelumba Petronas SRT, Fabio Quartararo (kanan) bersaing sengit dengan Marc Marquez dari Repsol Team Honda semasa perlumbaan Grand Prix San Marino di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli pada 15 September 2019. Foto AFP
AGENDASUKANKINI

Razlan puas hati aksi Quartararo, McPhee di GP San Marino

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Ketua pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali memuji dua pelumbanya yang berjaya menaiki podium dalam perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino and Rimini’s Coast di Misano World Circuit Marco Simoncelli, Itali, pada Ahad.

Pelumba Petronas Yamaha SRT MotoGP, Fabio Quartararo dari Perancis berjaya menaiki podium buat kali keempat selepas menduduki tempat kedua di belakang juara dunia MotoGP, Marc Marquez dari Repsol Team Honda, manakala penunggang Petronas Sprinta Racing Moto3, John McPhee dari Great Britain, memenangi podium ketiganya apabila menduduki tempat kedua perlumbaan.

Untuk rekod, Quartararo sebelum ini menduduki tempat kedua dalam perlumbaan GP Catalunya, dan tempat ketiga dalam GP Belanda dan GP Austria, manakala McPhee muncul juara dalam GP Perancis selain menduduki tempat ketiga di GP Austria sebelum ini.

“Keputusan Fabio dalam MotoGP dan John dalam Moto3 amat hebat, terutama bagi John yang berjaya memintas pelumba di hadapannya walaupun bermula dari grid di belakang, manakala Fabio pula cukup hebat apabila mendahului pelumba lain dalam beberapa pusingan, dan bersaing sengit dengan Marc Marquez,” menurut Razlan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu, hari ini.

“Ia minggu yang hebat buat Yamaha, dan diharapkan permulaan yang baik ini akan berterusan,” kata beliau yang juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang.

Sementara itu, Razlan berkata, beliau percaya rakan sepasukan McPhee, Ayumu Sasaki dari Jepun dan pelumba Moto2 negara, Adam Norrodin boleh bangkit kembali daripada kegagalan di Itali.

Sasaki gagal menamatkan perlumbaan selepas terlibat dalam kemalangan dengan tiga lagi pelumba lain dalam pusingan pembukaan Moto3, manakala Adam yang menggantikan Khairul Idham Pawi juga gagal menyinar apabila terlibat dengan kemalangan di pusingan kelima perlumbaan Moto2.

Kejohanan Dunia MotoGP 2019 akan diteruskan dengan perlumbaan berikutnya di GP Aragon, Sepanyol pada 20-22 September.

– BERNAMA


Pengarang :