AGENSISELANGOR

Rebut peluang akhir bergelar usahawan menerusi SITHAM

PUCHONG, 28 SEPT: Hari ini adalah hari terakhir bagi kaum India mendengar sesi taklimat khas bagi membolehkan mereka bergelar usahawan melalui Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM).

Ketua Kordinatornya, Thiban Subramaniam berkata, sehingga semalam hampir 2,000 pemohon berjaya mendaftar di setiap jelajah PPUIS yang dianjurkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bermula Ogos lalu. 

“Oleh itu mana-mana kaum India yang berminat untuk menjadi usahawan, anda masih ada lagi masa untuk mendaftar pada hari terakhir iaitu hari ini di Dewan Beringin Seksyen 24A, Shah Alam pada jam 4 petang nanti. 

“Selepas ini, permohonan akan ditutup dan diingatkan bahawa pendaftaran hanya boleh dilakukan ketika sesi taklimat SITHAM sahaja, ianya tidak boleh didapati di PBT atau tempat lain,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penerangan Program Pembangunan Usahawan India Selangor Daerah Subang Jaya, di Puchong, semalam. 

Majlis yang dianjurkan Majlis Perbandaran Subang Jaya itu turut dihadiri yang dipertuanya, Noraini Roslan serta hampir 100 peserta dari kalangan kaum India.

Mengulas lanjut, Thiban berkata, matlamat asal program itu diadakan ekoran jumlah usahawan kaum India masih lagi rendah di Selangor.

“Justeru Kerajaan Selangor mahu kelompok ini meningkatkan pendapatan dan keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Sejumlah RM1 juta diperuntukkan dan ianya amat merugikan sekiranya gagal diambil peluang sebaiknya,” katanya.


Pengarang :