Mohd Fadzli Ab Rahim menyerahkan jersi tajaan syarikat LaundryBar kepada Presiden Kelab Ragbi Rhinoz Warriors, Musli Mat Isa untuk mengharungi saingan kejohanan jemputan dan liga musim hadapan.
AGENSISELANGOR

Rhinoz Warriors bakal beraksi dengan jersi baharu

SELAYANG, 27 SEPT: ‘Tonik’ yang ditunggu-tunggu pasukan Rhinoz Warriors untuk mengharungi perlawanan ragbi dalam saingan Liga Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) akhirnya tiba apabila mereka bakal menyarung jersi baharu musim hadapan.

Strategi ampuh disusun sehingga mencipta banyak kejayaan ketika bersaing dalam liga KRS termasuk beberapa siri kejohanan jemputan sebelum ini menarik minat syarikat LaundryBar untuk menaja pasukan yang berpangkalan di Selayang itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan dan penajaan dalam usaha memajukan kelab berkenaan dan sukan ragbi di seluruh negara.

“Sukan ragbi antara sukan yang popular di Malaysia, terutama di peringkat sekolah dan Instituti Pengajian Tinggi (IPT) walaupun dilihat kurang mendapat liputan berbanding sukan-sukan lain.

“Bagaimanapun, dengan penajaan pihak korporat ini akan membantu sukan ragbi memandangkan banyak kos diperlukan ketika perlawanan liga berlangsung mahupun penyertaan bagi kejohanan jemputan yang lain,” katanya kepada SelangorKini.

Jersi berkenaan diserahkan Ketua Komunikasi Korporat dan Penjenamaan LaundryBar, Mohd Fadzli Ab Rahim kepada Presiden Kelab Ragbi Rhinoz Warriors, Musli Mat Isa pada majlis yang diadakan di Ibu Pejabat City Coin Group, Kepong, di sini, pada 24 September lalu.

Turut hadir, Pengurus pasukan, Ahmad Azlan Shamsuddin.

Difahamkan, penajaan kali pertama syarikat perkhidmatan dobi layan diri itu turut meliputi peralatan latihan.

Mohd Sany yang juga Penaung Kelab Ragbi Rhinoz Warriors berkata, kelab ragbi tempatan itu diyakini mampu untuk terus mengorak langkah ke hadapan dengan menggilap lebih ramai bakat baharu dalam sukan berkenaan, di Selangor.

Katanya, Rhinoz Warriors menghuni tangga keenam dalam Liga Selangor tahun ini, selain turut dinobatkan selaku juara pada Kejohanan Ragbi KLOB RC 10’S sempena Pesta Morib, pada 15 September lalu.

“Kita menyasarkan untuk berada di kedudukan keempat tahun hadapan untuk layak bersaing dalam Liga Ragbi Malaysia (LRM) yang lebih kompetitif, di samping menyertai sekurang-kurangnya tiga kejohanan jemputan lain,” katanya.


Pengarang :