AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini menjejaki prestasi renminbi China yang lebih kukuh berbanding mata wang negara maju itu, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi, ringgit meningkat kepada 4.1720/1770 berbanding dolar AS daripada 4.1780/1810 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata, bagaimanapun peningkatan ringgit adalah terhad memandangkan kebanyakan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia hari ini, selain pengumuman pengecualian Indeks Bon Kerajaan Dunia oleh FTSE Russell.

“Pengumuman pengecualian Bon Russell semakin hampir, menyebabkan pasaran mengalami tekanan bagaimanapun saya berpandangan Russell akan mengecualikan bon Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, unit tempatan juga didagangkan lebih kukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0276/0323 daripada 3.0295/0328 pada Rabu dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.8594/8651 daripada 3.8786/8824.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.1449/1515 daripada 5.1648/1702 semalam dan naik berbanding euro kepada 4.5942/6005 daripada 4.6033/6079.

– BERNAMA


Pengarang :