AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka tinggi, disokong perkembangan luaran positif

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, disokong perkembangan luaran yang positif khususnya keredaan dalam kemelut perdagangan AS-China, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.1630/1690 berbanding dolar AS daripada 4.1640/1680 ketika ditutup pada Khamis.

Pakar Strategi Pasaran Asia-Pasifik Axi Trader, Stephen Innes berkata, keredaan daripada kemelut perdagangan antara dua kuasa ekonomi dunia itu turut memberi sokongan kepada yuan China serta pasaran risiko lain.

“Ini boleh memberi petanda kepada penarikan balik tarif secara berperingkat oleh kedua-dua pihak,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagaimanapun, kenaikan ringgit dihadkan oleh harga minyak mentah yang lebih rendah dengan harga minyak Brent turun 0.18 peratus kepada US$60.67 setong ketika ini.

Bagi tempoh akan datang, seorang lagi penganalisis berkata pelabur akan memantau mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS yang berlangsung minggu depan.

“Sekiranya Rizab Persekutuan AS mengurangkan kadar faedah maka langkah itu boleh meningkatkan nilai ringgit,” katanya.

Di peringkat tempatan, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman tidak berubah pada 3.00 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Khamis, berasaskan ekonomi global yang berkembang pada kadar lebih sederhana dalam situasi pertumbuhan lebih perlahan di kebanyakan ekonomi maju utama dan yang sedang pesat membangun.

Mesyuarat MPC BNM yang terakhir untuk tahun ini akan diadakan pada 5 Nov dengan ramai ahli ekonomi yakin BNM mungkin mengekalkan kadar faedah tidak berubah.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8468/8530 daripada 3.8602/8650 ketika ditutup pada Khamis dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0276/0324 daripada 3.0275/0308.

Unit tempatan stabil berbanding pound Britain kepada 5.1334/1416 daripada 5.1355/1421 semalam namun susut berbanding euro kepada 4.6051/6130 daripada 4.5925/5973.

– BERNAMA


Pengarang :