AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka tinggi, jejaki prestasi harga minyak mentah

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong oleh kenaikan harga minyak mentah, yang kini didagangkan pada AS$63.84 setong, naik 0.81 peratus.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1810/1860 berbanding dolar AS daripada 4.1900/1930 ketika ditutup pada Khamis.

Peniaga berkata, harga minyak mentah Brent meningkat selepas Menteri Luar Iran, Javad Zarif dilaporkan berkata negara itu akan mengelakkan konflik dengan AS dan sekutunya selain percaya konfrontasi ketenteraan berasaskan penipuan adalah menyalahi undang-undang.

Ketegangan antara Tehran dan Washington meruncing berikutan serangan ke atas loji minyak Abqaiq dan medan minyak Khurais di Arab Saudi dengan AS menuding jari kepada Iran.

Serangan yang didakwa menggunakan gabungan dron dan peluru berpandu itu menyebabkan kemudahan pengeluaran minyak mentah Arab Saudi bagi 5.7 juta setong sehari atau kira-kira lima peratus daripada bekalan minyak harian global ditutup sementara.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan lemah berbanding pound British kepada 5.2367/2434 daripada 5.2262/2316 pada Khamis.

Ringgit tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0326/0371 daripada 3.0406/0349 semalam selain meningkat berbanding yen kepada 3.8724/8781 daripada 3.8789/8496.

Mata wang tempatan juga stabil berbanding euro kepada 4.6196/6286 daripada 4.6341/6391.

– BERNAMA


Pengarang :