AGENDANASIONAL

Ringgit dijangka teruskan momentum menaik minggu depan

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Sentimen global yang semakin baik berikutan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin reda, dijangka terus memacu naik ringgit pada minggu depan, bergerak antara 4.15 dan 4.1750 berbanding dolar AS.

Pakar strategi pasaran Axi Trader Asia-Pasifik, Stephen Innes berkata, pasaran pertukaran asing (forex) global akan memberi perhatian pada aliran berita mengenai perang perdagangan, yang telah menjadi pemacu sentimen serantau yang ketara.

“Saya agak optimis kerana saya fikir Washington dan Beijing mahu mengambil langkah awal untuk menyelesaikan pertikaian perdagangan, yang mana China akan membeli lebih banyak produk pertanian AS sebagai pertukaran untuk menangguhkan pelaksanaan tarif pada Disember,” katanya kepada Bernama.

Presiden AS, Donald Trump pada 12 September mengumumkan kenaikan tarif ke atas China, yang dijangka berkuat kuasa pada 1 Oktober, akan ditangguhkan selama dua minggu.

Innes berkata, ringgit boleh naik lebih tinggi jika yuan China bergerak di bawah paras 7.00 berbanding dolar AS dan terdapat perkembangan positif dengan pengumuman FTSE Russell berhubung senarai yang patut diberi perhatian dalam Indeks Bond Dunia (WGBI).

“Tamparan terbesar bagi tempatan adalah sekiranya FTSE Russell akan menggugurkan Malaysia daripada WGBI. Bagaimanapun, saya tidak fikir (pengeluaran daripada senarai akan berlaku, terutamanya) selepas langkah liberalisasi dibuat Bank Negara Malaysia dalam dasar pentadbiran pertukaran asing,” jelasnya.

Mengulas mengenai pakej rangsangan Bank Pusat Eropah (ECB) dan keputusan mengurangkan kadar utama, Innes berkata, ini akan membantu melonjakkan ringgit naik lebih tinggi memandangkan kemungkinan euro menyusut berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat, berikutan ECB mungkin menghentikan rangsangan selanjutnya, manakala Rizab Persekutuan AS (Fed) boleh memberi kelulusan bagi pengurangan kadar seterusnya.

Beliau berkata, pasaran sedang memanfaatkan kadar pengurangan 25 mata asas yang boleh menjejaskan sentimen dolar AS.

“Pasaran mata wang kini akan memberi tumpuan kepada keputusan Fed berhubung kadar (minggu depan), yang sepatutnya memberikan petunjuk baik untuk hala tuju dolar AS.

“Seperti biasa, pasaran forex akan memberi tumpuan kepada AS sebagai panduan ke hadapan. Semakin rendah kadar faedah AS, lebih baik untuk ringgit,” katanya.

Untuk minggu yang baru berakhir, mata wang tempatan meneruskan prestasi kukuh berbanding dolar AS berikutan sentimen dolar yang rapuh.

Ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini pada paras lebih tinggi 4.1630/1660 berbanding dolar AS daripada 4.1780/1830 pada Jumaat sebelumnya.

Mata wang tempatan didagangkan lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang utama, kecuali yen.

Ringgit jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0318/0345 daripada 3.0221 / 0261, susut berbanding pound Britain kepada 5.1829/1883 daripada 5.1385/1463, dan turun berbanding euro kepada 4.6205/6255 daripada 4.6079/6147 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 3.8550/8581 daripada 3.9050/9101.

Pasaran akan ditutup pada Isnin bersempena dengan sambutan Hari Malaysia dan akan dibuka semula pada Selasa.

– BERNAMA


Pengarang :