Wakil Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) bergambar selesai Majlis Persidangan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan MAIS 2019 dan Majlis Penyampaian Bantuan Dana NGO-i berlangsung di Wisma PKPS, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

RM1 juta bantu NGOi pergiat aktiviti penyebaran Islam

SHAH ALAM, 11 SEPT: Sebanyak RM1 juta diperuntukkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kepada 97 Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGOi) bagi mempergiat aktiviti penyebaran Islam di Selangor sepanjang tahun ini.

Timbalan Pengurus Jawatankuasa (NGOi) MAIS, Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian berkata, sumbangan bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu turut membabitkan tiga NGOi yang baharu berdaftar di bawah MAIS.

Katanya, pemberian dana diteruskan berikutan komitmen NGOi yang konsisten dalam menangani isu semasa ummah demi kepentingan bersama.

“Bukan hanya kepada kelompok tertentu, sumbangan ini sedikit sebanyak membantu semua golongan sasaran seperti Orang Kelainan Upaya (OKU), gelandangan serta mereka yang baru memeluk Islam.

“Ia juga membolehkan pelaksanaan aktiviti NGOi kerana mereka mempunyai pelbagai aktiviti yang merangkumi 10 kluster seperti dakwah, pendidikan, fakir miskin dan riqab.

“Kesemua NGOi akan bergerak berdasarkan kluster masing-masing, malahan mereka sangat proaktif dan inovatif dalam setiap aktiviti bagi membantu memelihara akidah umat Islam di selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Persidangan NGOi dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Dana MAIS Bagi Tahun 2019, di Dewan Orkid, Wisma PKPS, Seksyen 14, di sini hari ini.

Turut hadir, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Pada masa sama, katanya, amaun diberikan adalah sangat sedikit jika dibandingkan dengan tanggungjawab dan peranan dimainkan NGOi berdaftar dalam memastikan aqidah, sosial serta agama Islam terus dipelihara di negeri itu.

“Justeru, pencapaian seperti ini harus dikekalkan dan sebaiknya dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan demi kebaikan ummah,” katanya.


Pengarang :