AGENSISELANGOR

Rukun Negara bukan untuk dihafal tetapi dijiwai – Amirudin

GOMBAK, 15 SEPT: Lima perkara yang terkandung dalam Rukun Negara bukan sekadar untuk dihafal tetapi perlu dijiwai setiap warga negara bagi menjamin perpaduan rakyat terus utuh dan Malaysia kekal harmoni.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, antara perkara yang terdapat dalam Rukun Negara ialah “kesetiaan kepada raja dan negara”, “kedaulatan undang-undang” dan “keluhuran perlembagaan” yang perlu dihayati oleh semua lapisan rakyat.

“Kita perlu mengukuhkan kefahaman dan hasrat di dalam Rukun Negara kerana ia ada niat di sebalik yang terkandung dalam lima rukun tersebut misalnya “kesetiaan kepada raja dan negara”, “kedaulatan undang-undang”, “kesopanan dan kesusilaan”, itu semua menjurus kepada negara yang demokratik dan bebas.

“Semua aspek itu perlu diteliti oleh rakyat dalam pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang kukuh dan stabil kerana sebelum ini kita menempuhi pelbagai cabaran, pernah diperlekeh negara jiran namun, kekuatan kita terhadap pemahaman tersebut meneruskan kejayaan kita pada hari ini dan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Program Penutup Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia di Dewan Terbuka & Padang Bola Padang Awam Batu Caves, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, suasana aman dikecapi hari ini membuktikan bahawa hanya kestabilan mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, makmur dan sejahtera.

Ketika menyentuh rukun negara ketiga iaitu “keluhuran Perlembagaan” Amirudin berkata, terdapat beberapa “tiang seri” di dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dijiwai seperti kedudukan Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa kebangsaan, hak semua kaum dijaga dan kebebasan.

Katanya, negara akan melahirkan rakyat yang sekadar mengikut membuta-tuli sekiranya pemahaman terhadap “tiang seri” Perlembagaan Persekutuan ini tidak dfahami dengan baik.

“Saya percaya perlu dirakyatkan lagi asas-asas Perlembagaan kerana banyak perkara dalam Perlembagaan yang saya tidak rasa semua orang faham kecuali mereka yang pakar Perlembagaan tetapi “tiang seri” dalam Perlembagaan ini harus ditekankan seperti kedudukan Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa kebangsaan, hak semua kaum dijaga, kebebasan dan lain-lain.

“Jadi, saya sarankan keluhuran Perlembagaan itu perlu didirikan atas dasar kefahaman, bukan ikutan membuta seperti mana sebahagian kita,” katanya.

 


Pengarang :