Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Rundingan damai dengan Taliban sudah berkubur – Trump

WASHINGTON, 10 SEPT: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin lalu berkata, rundingan damai dengan Taliban “sudah terkubur” selepas beliau membatalkan satu sidang kemuncak yang dirancang di luar ibu kota negara itu sebagai tindakan balas terhadap satu serangan kumpulan itu yang menyebabkan 12 orang terbunuh, termasuk seorang anggota tentera AS, lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Sepanjang pengetahuan saya, ia sudah terkubur,” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih.

“Mereka ingat mereka perlu bunuh orang bagi meletakkan diri mereka di posisi yang lebih baik untuk berunding. Apabila mereka berbuat demikian, mereka telah membunuh 12 orang dan seorang daripada mangsa adalah anggota tentera Amerika yang hebat.

“Anda tidak boleh berbuat seperti itu dengan saya,” katanya.

Trump sebelum itu menafikan laporan bahawa beliau telah bertindak mengatasi para pegawai tinggi pentadbiran termasuk Naib Presiden, Mike Pence, apabila beliau merencanakan satu pertemuan sulit dengan Taliban di pemukiman presiden di Kem David.

Trump berkata, laporan berkaitan perselisihan dalam pentadbiran beliau “kebanyakannya adalah Berita Palsu” dan menegaskan dalam beberapa tweet bahawa “cerita ini adalah Palsu!”

“Saya selalu berfikiran bahawa adalah bagus untuk bertemu dan berbincang, namun dalam kes ini, saya tidak mahu berbuat demikian.

“Kami telah berkhidmat sebagai polis di Afghanistan, dan itu bukanlah tugasan yang sesuai untuk anggota tentera kami yang hebat dan terbaik di muka bumi ini. Sejak empat hari lepas, kami telah menyerang musuh kami dengan lebih keras berbanding pada sebarang masa dalam tempoh sepuluh tahun lepas,” kata Trump.

Trump membatalkan pertemuan yang dirancang diadakan di luar ibu kota Afghanistan selepas satu serangan di Kabul minggu lepas meragut nyawa seorang anggota tentera AS dan 11 mangsa lain.

– BERNAMA


Pengarang :