AGENDANASIONAL

Saksi: Jho Low berminat idea penubuhan TIA sejak 2008

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low menunjukkan minat dengan idea penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) sejak ia dicadangkan pada 2008.

Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, berkata demikian ketika dirujuk Minit Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 19 Disember 2008 oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari kelapan perbicaraan kes bekas perdana menteri itu membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Amhari Efendi, 43, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan berkata beliau mengetahui dari awal lagi pembabitan Jho Low dalam projek TIA serta pembabitannya dalam membentangkan deraf cadangan projek berkenaan.

Muhammad Shafee turut mencadangkan kepada saksi bahawa idea penubuhan TIA diilhamkan oleh DYMM Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang merupakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Bagaimanapun, Amhari Efendi berkata, beliau mengetahui bahawa Jho Low terbabit pada peringkat awal (cadangan penubuhan TIA) dan tidak tahu ia adalah idea Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sementara itu, Amhari Efendi berkata, TIA yang kemudiannya ditukar kepada 1MDB merupakan ‘baby’ Najib.

Ketika disoal Muhammad Shafee apa yang dimaksudkan bahawa projek TIA itu ‘baby’ Najib, Amhari Efendi berkata ‘baby’ dalam konteks itu adalah sesuatu yang penting, dilahirkan dan diinspirasikan seperti projek 1MDB.

“Pada waktu itu, dalam konteks Najib akan menjadi perdana menteri (PM), jadi ‘baby’ adalah sesuatu perkara yang ingin beliau lakukan sebelum jadi PM…sesuatu yang sangat rapat dengannya seperti 1MDB atau dasar…sesuatu yang beliau ingin ‘carry’ yang ‘important’ untuknya.

“Ini adalah ‘baby’ dia dan ia sangat penting bagi dia,” kata saksi itu.

Muhammad Shafee: Saya katakan bahawa kamu telah mengetahui lebih awal TIA bukan ‘baby’ kepada Najib tetapi ia idea dari Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin)

Amhari Efendi: Saya tidak bersetuju.

Semasa dirujuk kepada Minit Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 12 Dis 2008, Amhari Efendi mengesahkan cadangan penubuhan TIA dengan dana permulaan sebanyak RM10 bilion adalah untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang mapan dan berterusan bagi negeri itu.

Dalam minit mesyuarat itu turut menyatakan dana RM10 bilion itu akan diperoleh daripada pengeluaran bon di pasaran kewangan tempatan dan luar negara dengan cadangan supaya Kerajaan Persekutuan menyediakan jaminan sebanyak RM5 bilion bersandarkan kepada sebahagian daripada pendapatan minyak masa depan Terengganu.

Saksi itu turut mengesahkan minit mesyuarat itu juga menyatakan penubuhan TIA adalah satu cadangan yang baik bertujuan memastikan pendapatan negeri Terengganu mencukupi untuk menjana pembangunan generasi akan datang bagi menghadapi keadaan di mana satu hari kelak negeri itu akan kehabisan sumber minyak dan gas.

Dalam pada itu, Amhari Efendi mengesahkan bahawa beliau menghadiri Mesyuarat TIA sebagai sekretariat pada 5 Mac 2009.

Namun, Amhari Efendi berkata beliau tidak dapat mengingati sama ada minit mesyuarat itu dicatit olehnya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-BERNAMA


Pengarang :