Datuk Amhari Efendi Nazaruddin,
AGENDANASIONAL

Saksi tidak setuju wang RM3.7 juta ganjaran diberi Jho Low

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Bekas pegawai khas, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan bahawa US$884,996.78 (RM3.7 juta) yang dimasukkan ke dalam akaun Bank BSI Switzerland beliau adalah ganjaran daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata demikian dalam pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari kelima perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB ).

Saksi pendakwaan kelapan itu juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela itu bahawa beliau menerima wang itu daripada Jho Low kerana beliau telah banyak menolong Jho Low selama beberapa tahun.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa akaun Bank BSI Switzerland itu, yang didakwa dibuka untuk tujuan politik, hanyalah satu rekaan atau imaginasi semata-mata.

Muhammad Shafee: Dalam penyataan saksi kamu, kamu ada menyebut bahawa kamu perlu bekerjasama dengan Jho Low untuk membuka akaun kerana kamu ditekan dan kehidupan serta karier kamu terancam

Amhari Efendi : Ya.

Muhammad Shafee: Mengikut pemahaman kamu, siapa orang yang akan mengancam kamu Najib

Amhari Efendi: PM (Najib) berkuasa, kehidupan tidak semestinya bermaksud’nyawa’… juga tekanan dalam pekerjaan sehari-hari. Dan saya pun tidak tahu apa yang diterjemahkan oleh Jho Low kepada PM dan bos saya (Datuk Azlin Alias, yang pada masa itu adalah Ketua Setiausaha Sulit Najib )…Tetapi selepas Jho Low pergi, Datuk Azlin telah menasihati saya supaya mengikut arahan Jho Low untuk membuka akaun di luar negara.

Muhammad Shafee: Kamu rasa ancaman itu daripada Pejabat Perdana Menteri atau perdana menteri (Najib)

Amhari Efendi: Bukan secara langsung daripada perdana menteri. Jho Low telah mendapat restu daripada Najib.

Muhammad Shafee: Itu apa didakwa Jho Low (kepada kamu dan Azlin). Tidakkah kamu merasakan bahawa ancaman itu adalah daripada bos kamu sendiri (Najib) dan disampaikan melalui Jho Low

Amhari Efendi: Sepertimana yang dikatakan Azlin dalam perbincangan sulit, ancaman tersebut tidak datang secara langsung daripada perdana menteri, tetapi secara tidak langsung daripada perdana menteri.

Muhammad Shafee: Ia daripada Jho Low saksi itu menjawab “Jho Low”.

Saksi itu juga berkata, beliau tidak mengesyaki apa-apa apabila Jho Low menyuruhnya membuka akaun di luar negara.

Amhari Efendi berkata, beliau tidak ada bertanya kepada Najib sama ada perdana menteri itu ada memberi kuasa kepada Jho Low dalam perkara ini (membuka akaun).

Muhammad Shafee: Kamu tidak pernah sampaikan fakta ini kepada beliau, bahawa Jho Low telah menyuruh kamu membuka akaun, awak “bulat-bulat” percaya kepada Jho Low dan tidak sedikitpun berusaha untuk datang balik dan memberitahu bos kamu (Najib)

Amhari Efendi: Saya tidak pernah melakukan demikian. Tapi saya ikut Datuk Azlin…Saya pegawai bawahan, tak semudah jumpa Najib pada masa itu. Jadi, memang tidak ada ruang nak jumpa Najib.

Amhari Efendi juga berkata, akaun Bank BSI yang dibukanya di Singapura mengikut arahan Jho Low pada 2012 itu didaftarkan bawah syarikat tidak aktif (shell company).

Amhari Efendi berkata, Aerosphere Ltd adalah didaftarkan bawah nama beliau dan beliau adalah pemegang saham tunggalnya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan keempat-empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014, dan untuk 21 pertuduhan lagi, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

– BERNAMA


Pengarang :