Keadaan jerebu di Klang yang dirakam baru-baru ini. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sarawak kekal sangat tidak sihat, jerebu Semenanjung makin kurang

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Sementara kebanyakan kawasan di Semenanjung menunjukkan penurunan dalam bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat pukul 12 tengah hari ini, enam kawasan di Sarawak terus menyaksikan peningkatan dalam bacaan IPU dengan Mukah menjadi lokasi terbaharu mencatatkan IPU sangat tidak sihat.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Mukah meningkat kepada 208 berbanding 197 pada 8 pagi tadi.

Bacaan IPU di Kuching dan Samarahan di Sarawak pula kekal dalam kategori sangat tidak sihat apabila masing-masing mencatat bacaan 270 dan 224. Turut mencatat IPU sangat tidak sihat di Sarawak ialah Sibu (245), Sarikei (237), Sri Aman (212).

Dalam pada itu, di Semenanjung kebanyakan kawasan menunjukkan penurunan dalam bacaan IPU termasuk Johan Setia di Klang dengan bacaan 169 (tidak sihat) berbanding 260 (sangat tidak sihat) pada 3 petang semalam.

Bagaimanapun, bilangan kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat dengan IPU melebihi 101 meningkat kepada 39 hari ini berbanding 35 semalam. Antara kawasan dalam kategori tidak sihat adalah Sungai Petani (125) dan Kulim Hi-Tech (119) di Kedah; Balik Pulau (184), Minden (159) Seberang Jaya (134) serta Seberang Perai (119) di Pulau Pinang selain empat kawasan di Perak melibatkan Taiping (121), Tasek Ipoh (145), Pegoh Ipoh (112) dan Seri Manjung (105).

Kawasan lain yang mempunyai bacaan IPU tidak sihat ialah Batu Muda (134) dan Cheras (144) di ibu negara, Putrajaya (145) serta empat stesen di Selangor melibatkan Kuala Selangor (119), Petaling Jaya (156), Klang (131), Banting (145) dan Johan Setia Klang (169).

Turut menyaksikan kualiti udara tidak sihat ialah di Nilai (160), Seremban (128) dan Port Dickson (164) di Negeri Sembilan manakala Alor Gajah (135), Bukit Rambai (143) dan Bandaraya Melaka (140) di Melaka.

Di Johor tujuh kawasan merekod bacaan tidak sihat melibatkan Segamat (139), Batu Pahat (130), Kluang (131), Larkin (144), Pasir Gudang (112), Kota Tinggi (109) dan Tangkak (135).

Empat kawasan di Sarawak turut mencatat IPU tidak sihat iaitu ILP Miri (107), Miri (107), Samalaju (134), Bintulu (147) selain tiga kawasan di Terengganu iaitu Kemaman (107), Paka (108) dan Kuala Terengganu (125).

Sebanyak 23 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatat IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya).

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-BERNAMA


Pengarang :