Datuk Mohamaddin Ketapi (tengah) menandatangani plak perasmian pawagam komuniti Max Cinemas sewaktu merasmikannya pada 20 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sasaran 28 juta pelancong antarabangsa boleh dicapai

LAHAD DATU, 20 SEPT: Sasaran 28 juta pelancong antarabangsa berkunjung ke Malaysia pada tahun ini boleh dicapai, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, berbaki tempoh sehingga hujung tahun ini, kerajaan optimis untuk menerima kemasukan 14 hingga 16 juta pelancong antarabangsa lagi bercuti ke negara ini.

“Ketika ini negara menjana pendapatan kira-kira RM50 bilion daripada sektor pelancongan,” katanya ketika berucap merasmikan pawagam komuniti Max Cinemas di sini, hari ini.

Mohamaddin berkata, bagaimana pun sasaran itu hanya diketahui pada akhir tahun ini.

Dalam pada itu, sektor pelancongan negara tidak terjejas ekoran fenomena jerebu yang melanda beberapa kawasan di Malaysia, yang keadaan jerebu ketika ini sudah mulai pulih.

Sementara itu, berkaitan perasmian pawagam berkenaan, Mohamaddin, yang juga Anggota Parlimen Lahad Datu, berkata kewujudannya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Saya difahamkan bahawa kira-kira 30 pekerja dari kalangan anak tempatan Lahad Datu diberi peluang pekerjaan di pawagam Max Cinemas ini dan jumlah ini dijangka bertambah dengan sambutan ekosistem yang amat baik yang wujud di persekitaran ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan menggalakkan pelaburan lain masuk di daerah ini.

“Kemasukkan pelabur luar membawa impak positif kepada Lahad Datu dengan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan,” katanya lagi.

– BERNAMA


Pengarang :