‘Dark side’ atau DS iaitu pemilik akaun laman sosial yang memaparkan sisi gelap khususnya keinginan dan fantasi seksual.
AGENDANASIONAL

Sebar, kongsikan kisah perpaduan di media sosial

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Masyarakat diseru supaya berkongsi dan menyebarkan kisah positif yang boleh meningkatkan perpaduan negara melalui media sosial, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Beliau berkata dengan perkongsian itu, ia dapat menjadi aspirasi, ikutan dan budaya masyarakat terutama generasi muda di negara ini.

“Kini media sosial amat dominan dalam kehidupan, bagaimanapun terdapat sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan medium itu dengan niat memecah belah dan mengganggu-gugat keharmonian negara.

“Justeru, saya ingin menyeru agar kita semua menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah MyHero 3.0 yang dirasmikan isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, di sini hari ini.

Md Farid berkata media seharusnya memainkan peranan penting dalam menyebar luas mesej perpaduan serta kerjasama dan penglibatan media bahasa Melayu, Cina, Inggeris, Tamil dan media digital merupakan satu usaha yang membanggakan serta harus dipuji.

Pada majlis itu, Dr Siti Hasmah turut menyampaikan anugerah MyHero kepada lima pemenang atas sumbangan mereka memupuk semangat perpaduan dan keharmonian kaum dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Penerima anugerah itu ialah Jemeyah Sheriff, Md Herman Saidin, Richard Wong Yew King, Dr Norzah Abd Ghani dan Cheah Kim Hock serta V. Rajendran. Kesemua mereka membawa pulang wang tunai RM5,000 dan trofi selain akan dilantik menjadi Duta Perpaduan Nasional oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Dua lagi penerima bagi kategori remaja ialah Cathryn Anila dan Ooi Shiao Lu yang masing-masing membawa pulang sijil penyertaan.

Sementara itu, Jameyah, 59, berkata usaha beliau membantu rakannya Tan Chin Chin, 37, yang menghidap ‘cerebal palsy’ ketika bersama-sama menimba ilmu di Universiti Sains Malaysia pada tahun 2003 telah melayakkannya menerima anugerah itu.

“Selama lebih tiga tahun saya bantu Tan ulang alik ke bilik kuliah, asrama dan membelikan makanan kerana dia tidak boleh bergerak sendiri…bagi saya sudah menjadi tanggungjawab sesama insan untuk saling membantu tanpa mengira kaum,” kata ibu tunggal kepada enam anak itu.

Anugerah MyHero yang diperkenalkan pada 2014 itu adalah program kerjasama antara Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan Nanyang Siang Pau bagi mengiktiraf wira dan wirawati tidak dicanang yang menabur bakti dalam memupuk perpaduan serta keharmonian kaum di negara ini.

-BERNAMA


Pengarang :