Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan skrol kepada pelajar sempena Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor ke-22 di Bangi pada 7 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sedia dana bantu terjemah karya ke Bahasa Melayu

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 7 SEPT: Kerajaan Negeri berhasrat menyediakan dana khas bagi membantu usaha penterjemahan karya aliran agama dan kemanusiaan ke dalam Bahasa Melayu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, inisiatif itu membolehkan mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) serta Universiti Selangor (UNISEL) mempelajari ilmu tanpa sempadan.

Katanya, dengan ilmu pengetahuan, mereka boleh mengubah nasib diri, keluarga dan turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Rektor KUIS, Dato’ Dr Ab. Halim Tamuri menyampaikan cenderamata kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari seusai Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-22 di Bangi, pada 7 September 2019. – Foto ASRI SAPFIE/ SELANGORKINI

“Setiap tahun kita ada memperuntukkan dana untuk terbitkan buku atau karya ke dalam bahasa Arab..Tetapi tiada Bahasa Melayu.

“Untuk terbitkan sudah tentu ada kos penterjemahan ini. Oleh itu, kita sedia berbincang dan universiti ini sedia menyalurkan kepakaran untuk bahan bacaan dalam Bahasa Melayu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Konvokesyen KUIS kali ke 22, di Pusat Konvensyen KUIS, di sini.

Amirudin menjangkakan peruntukan penterjemahan karya ke Bahasa Melayu berkenaan akan mula disalurkan tahun hadapan memandangkan KUIS kini menawarkan kursus penterjemahan.

Pada masa sama, Amirudin berkata, kepesatan inovasi dan teknologi yang lebih baharu daripada ‘Internet of Things’, ‘big data’ dan ‘blockchain’ akan menjadi cabaran buat warga Muslim khususnya mahasiswa.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak semua perkara perlu dikomersialkan atau diperdagangkan.

“Sebahagian perubahan teknologi seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik bakal menjadikan sebahagian pekerjaan waktu ini bakal menjadi pupus.

“Justeru, anak mahasiswa yang mengaji agama di KUIS dan juga aliran kemanusian dalam UNISEL, kita bercadang untuk menyediakan dana khas untuk membantu sebarang penterjemahan karya yang membantu memanusiakan manusia,” katanya.

Kemeriahan suasana ketika Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-22 di Bangi, pada 7 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Sementara itu, beliau turut menyarankan KUIS menerokai pemikiran Syeikh Abdullah Ben Bayyah, Ulama’ asal Mauritania itu fasih berbahasa Perancis, selain Arab dan Inggeris serta menguasai pemikiran serta falsafah Barat klasik dan pasca moden.

“Beliau adalah seorang pemikir dikagumi kawan dan lawan, dari Sarjana Islam, Syeikh Hamza Yusof hingga bekas Presiden, Barack Obama.

“Maka, tokoh seperti ini wajar difahami pemikirannya dan semoga pelajar KUIS antara yang terawal boleh menterjemah dan menjernihkan pemikiran beliau ke tanah air kita yang tercinta ini,” katanya.


Pengarang :